AWAS Unit Paradom anjur program kemasyarakatan dan kebajikan

0
TURUT SERTA: Penduduk kampung turut serta dalam program Rantau Serumpun Kasih anjuran AWAS.

TURUT SERTA: Penduduk kampung turut serta dalam program Rantau Serumpun Kasih anjuran AWAS.

SIBU: Angkatan Warisan Anak Sarawak (AWAS) Unit Paradom menganjurkan program kemasyarakatan dan kebajikan iaitu Rantau Serumpun Kasih bertujuan menyatukan semula penduduk Islam yang dahulunya pernah tinggal di Kampung Telok Selalo dan sekitarnya.

Setiausaha AWAS Pusat Mohd Junaidi Sambang berkata semasa zaman komunis awal 70-an, ramai penduduk kampung tersebut lari dan berhijrah ke Sibu kerana faktor keselamatan.

“Hanya sebilangan kecil masih meneruskan kehidupan di situ sehingga hari ini. Mereka ini terdiri masyarakat Islam yang masih ketinggalan daripada arus pembangunan pesat.

“Oleh itu, AWAS Pusat mengambil insiatif membela nasib penduduk yang berusaha mencari sebidang tanah bagi keperluan seperti pertanian dan penternakan,” katanya di sini kelmarin.

Menurut Junaidi, mereka mengenal pasti satu tapak iaitu di Lot 924, Assan Land District yang merupakan tanah simpanan kerajaan negeri bagi tujuan tersebut.

“Kami sangat berharap kerajaan negeri memberi perhatian dan meluluskan permohonan penduduk di Paradom,” jelasnya.

Menyentuh mengenai program itu, Junaidi berkata program itu berjaya mengumpul seramai mungkin saudara-mara sekitar bandar Sibu, Bintangor dan Sarikei.

“Kami telah merintis masuk ke dalam hutan menuju ke tapak tersebut walaupun terpaksa berjalan hampir dua jam atas permukaan tanah gambut.

“Jika permintaan ini diluluskan, kami harap kerajaan dapat membantu membina jalan ke tapak tersebut supaya mudah kami berulang-alik sekali gus menjimatkan masa,” katanya.

Sementara Pengerusi AWAS Unit Paradom Sharif Umar berkata usaha murni AWAS Pusat itu membuka harapan dan lebaran baharu penduduk untuk memajukan diri mengharungi zaman transformasi.

Tidak dinafikan, ramai anak-anak di kampung terbabit berjaya dalam pendidikan dengan memiliki diploma dan sebagainya.

“Ini berkat usaha gigih mereka ingin berjaya dan mengubah nasib ibu bapa yang  tidak kurang masih meneruskan pekerjaan tradisi seperti kerja kilang, nelayan dan buruh kasar.

“Usaha ini bukan sahaja dapat membuka peluang dan ruang kepada penduduk dalam bidang pertanian malah dapat menyatu semula saudara di sebuah perkampungan baharu nanti,” katanya.

Sharif yakin dan percaya kepimpanan hari ini dapat mengambil perhatian dan tidak membiarkan mereka terus tersisih dalam arus pembangunan.