Banjir datang lagi

0

Beberapa kawasan di Limbang dan Lawas terjejas, 268 mangsa ditempatkan di dua pusat pemindahan banjir

// Oleh Mastura Ismail //

TERJEJAS: Kampung Ukong di kawasan Medamit Limbang yang dilanda banjir.

TERJEJAS: Kampung Ukong di kawasan Medamit Limbang yang dilanda banjir.

LIMBANG: Banjir mula melanda beberapa kawasan utara negeri ini dengan seramai 268 mangsa dipindahkan di dua pusat pemindahan banjir di sini dan Lawas.

Di Pusat Pemindahan Banjir Dewan Masyarakat Medamit di sini, seramai 215 mangsa daripada 60 keluarga dipindahkan setakat jam 2 petang semalam.

Pegawai Bilik Gerakan Operasi Banjir Medamit Ramli Usoh berkata, air naik hampir dua kaki di beberapa kawasan di Kuala Mendalam setakat tengah hari semalam.

“Manakala, jalan dari Medamit ke kawasan hulu Medamit terputus akibat dinaiki air setinggi hampir tiga kaki dan belum surut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya lagi, pihaknya turut menerima laporan daripada Rumah Embol Lubuk Pasu, Limbang bahawa air semakin naik hampir satu kaki ke rumah panjang mereka.

Jelasnya, hujan lebat berlaku petang kelmarin menyebabkan beberapa gerai di pekan Medamit turut terjejas.

Sementara itu di Lawas, seramai 53 mangsa daripada 17 keluarga dari lima kampung di kawasan Trusan yang dilanda banjir dipindah ke Pusat Pemindahan Banjir Dewan Masyarakat Trusan sejak tengah hari semalam.

Pegawai Kebajikan Lawas Mohd Nur Khairul Pungut berkata, jumlah itu membabitkan 23 orang dewasa dan 30 kanak-kanak yang ditempatkan di dewan itu sejak petang kelmarin.

DIPINDAH: Mangsa banjir di kawasan Trusan yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Banjir Dewan Masyarakat Trusan, semalam.

DIPINDAH: Mangsa banjir di kawasan Trusan yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Banjir Dewan Masyarakat Trusan, semalam.

“Kampung terjejas ialah  Kampung Seberang Kedai, Kampung Gelapas, Kampung Tengah, Kampung Balai dan Kedai Lama Trusan,” katanya.

Tambahnya, pada masa sama beberapa kampung di Sundar turut dinaiki air sehingga semalam membabitkan Kampung Sebelah Sundar, Kampung Baru, SK Luagan, Kampung  Bingkiai, Kampung Sinampuan dan Balai Polis Sundar yang digenangi air setinggi satu kaki.

“Namun bandar Lawas yang dilanda banjir kilat akibat hujan lebat kini beransur pulih dan air mulai surut.

“Bagaimanapun, ia menyebabkan air dari hulu melimpah ke pekan Trusan dan kawasan itu dinaiki air semalam (kelmarin),” katanya.

Agensi kerajaan dan anggota penyelamat Lawas kini bersiap siaga selain terlibat dalam operasi membantu dan menyelamat mangsa di kawasan terjejas.

Seramai 31 anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Limbang, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), JKM, Pejabat Daerah dan agensi lain terlibat dalam menyalurkan bantuan selain melakukan persiapan menghadapi banjir.

Kelmarin, Bilik Gerakan Operasi banjir Pejabat Daerah Lawas dan Bilik Gerakan Operasi  Banjir Pejabat Daerah Limbang diaktifkan.

Agensi kerajaan berkaitan terutama JBPM Limbang juga sudah melakukan pemantauan paras air sungai di kawasas hulu Medamit sehingga kawasan Batu Danau.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Lawas dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam menasihatkan semua penduduk Lawas menyimpan air bagi kegunaan harian kerana catuan bekalan air akan dilakukan.

“Sungai Batang Trusan sedang mengalami tahap air yang tinggi buat masa ini dan bagi menjaga keselamatan loji jika air semakin naik, pam elektrik di loji rawatan Trusan akan ditutup,” katanya.

JKR Lawas berkata, pam elektrik itu akan beroperasi semula jika air sungai kembali surut.

BANJIR: Keadaan di pekan Medamit, semalam.

BANJIR: Keadaan di pekan Medamit, semalam.