Kakitangan LHDN disyaki cuba menipu dicekup

0

Suspek dipercayai memalsukan dokumen, guna kad pengenalan orang lain untuk meminjam wang

// Oleh Michael Ubam //

CUBA TIPU:  Suspek (membelakangkan kamera) sedang disoal pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial di Balai Polis Sentral pagi semalam.

CUBA TIPU: Suspek (membelakangkan kamera) sedang disoal pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial di Balai Polis Sentral pagi semalam.

SIBU: Seorang kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN) di sini ditahan polis kerana dipercayai cuba menipu dengan memalsukan dokumen dan menggunakan kad pengenalan orang lain meminjam wang di sebuah syarikat peminjam wang berlesen semalam.

Kelicikan suspek lelaki berumur 27 tahun itu terbongkar apabila seorang kakitangan syarikat peminjam wang tersebut mengenali pemilik kad pengenalan dan menghubunginya bertanya sama ada dia ada membuat permohonan pinjaman wang kali kedua.

Sebelum itu, permohonan pinjaman dikepilkan bersama dokumen palsu itu dihantar suspek sendiri jam 3 petang kelmarin.

Mangsa berumur 28 tahun terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara itu dan menjawab tidak membuat sebarang pinjaman serta memberitahu bahawa MyKadnya tercicir 23 November lalu tetapi terlalu sibuk untuk membuat laporan polis.

Mangsa bekerja sebagai pembantu kedai menjual alat ganti kereta di bandar ini.

Hasil siasatan pasukan polis komersial mendapati kad pengenalan mangsa dipercayai dijumpai seorang pengawal keselamatan kemudian menyerahkan kad pengenalan mangsa kepada suspek.

Difahamkan, suspek juga disyaki memalsukan slip gaji dengan menggunakan nama mangsa untuk permohonan pinjaman wang daripada syarikat peminjam berkenaan.

Selepas berjaya menghidu taktik suspek, syarikat peminjam wang itu menghubungi suspek yang bekerja di jabatan berkenaan bagi mendapatkan wang pinjaman sebanyak RM15,000 yang kononnya sudah dilulus.

Apabila suspek muncul di pejabat peminjam wang berlesen tersebut, dia ditahan beberapa pekerja di syarikat peminjam wang sebelum diserah kepada polis di Balai Polis Sentral di sini sekitar jam 9 pagi semalam.

Pemilik kad pengenalan tersebut kemudian tampil ke balai untuk membuat laporan mengenai kehilangan kad pengenalannya.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Mohd Kamal Kordi ketika dihubungi memberitahu pihaknya telah menerima laporan berhubung kes tersebut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

“Suspek akan direman selepas ditahan pagi tadi (semalam) dan siasatan lanjut masih dijalankan,” tambahnya.