Penjara, sebat angkara rogol, rompak

0
BERSALAH: Dua lelaki tersebut dieskot keluar dari mahkamah selepas dijatuhi hukuman.

BERSALAH: Dua lelaki tersebut dieskot keluar dari mahkamah selepas dijatuhi hukuman.

KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 38 tahun dan 21 sebatan semalam selepas didapati bersalah merogol, melakukan seks oral dan merompak seorang pembantu pengasuh kanak-kanak awal bulan ini.

Rakannya yang juga seorang lelaki pula dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 13 sebatan kerana merogol dan merompak perempuan yang sama.

Hakim Mahkamah Sesyen Dayang Ellyna Narisa Abang Ahmad semalam menjatuhkan hukuman terhadap Mohamad Zulzarezan Noor, 21, dan Mohd Shah Rizal Morshidi, 22, selepas mereka mengaku bersalah terhadap tuduhan ke atas mereka.

Zulzarezan dijatuhi hukuman penjara maksimum 20 tahun kerana merogol mangsa yang berusia 19 tahun, lapan tahun kerana bersalah memaksa mangsa melakukan seks oral, dan 10 tahun kerana merompak barangan milik mangsa.

Manakala, Shah Rizal yang berhadapan dua tuduhan juga dihukum penjara maksimum 20 tahun kerana merogol, dan 10 tahun lagi kerana merompak.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Taman Monah, Petra Jaya di sini pada 6 November antara 1 pagi dan 6.30 pagi. Mereka memecah masuk ke dalam premis tersebut.

Mangsa bersendirian di premis itu ketika insiden berlaku.