Suami terkejut isteri meninggal dalam bilik mandi hotel bajet

0

KUCHING: Seorang suami yang risau selepas lebih dari sejam menunggu isterinya pulang dari kerja hampir tidak dapat menerima kenyataan apabila menemui isterinya tidak lagi bernyawa kelmarin.

Menurut sumber, insiden berlaku di sebuah hotel bajet di Jalan Tabuan di sini apabila mangsa iaitu Seiah Jelapang, 41, dari Kampung Kudei ditemui kaku di dalam bilik mandi hotel berkenaan sekitar jam 8 malam.

Difahamkan, mangsa yang bekerja di hotel berkenaan terdahulu dikatakan memberitahu rakan sekerjanya hendak mandi sementara menunggu dijemput oleh suaminya pulang dari kerja.

“Dia (mangsa) baharu lepas makan malam bersama rakan sekerjanya dan memberitahu ingin mandi terlebih dahulu sementara menunggu suaminya menjemputnya pulang.

“Bagaimanapun, kira-kira sejam selepas itu, suami mangsa yang menunggu di luar hotel berkenaan mula risau dan masuk ke dalam hotel sebelum diberitahu bahawa isterinya sedang mandi.

“Si suami kemudian pergi ke bilik mandi tersebut yang berkunci dari dalam menyebabkan dia terus memecah masuk ke dalamnya dan terkejut apabila melihat isterinya kaku tidak sedarkan diri,” kata sumber.

Si suami dengan bantuan daripada pekerja di hotel berkenaan kemudian mengangkat mangsa keluar dan terus menghubungi pihak ambulans untuk bantuan.

“Si suami yang dimaklumkan oleh anggota paramedik bahawa isterinya telah meninggal dunia, tidak dapat menerima kenyataan sehingga ditenteramkan oleh rakan sekerja isterinya itu,” kata sumber.

Anggota dari balai polis berhampiran juga dilihat hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya untuk upacara pengebumian.