12 pemain tempatan buru kemenangan Kejohanan Snuker Tertutup Kebangsaan

0

SIBU: Seramai 12 pemain snuker profesional tempatan menyasarkan pencapaian terbaik di Kejohanan Snuker Tertutup Kebangsaan kali Ke-27 berlangsung di X Club Snooker and Dart Centre Kuala Lumpur kelmarin.

Semua 12 pemain tersebut termasuk Mark Yeo, Danny Wong, Sim Hong Hui dan Pau Chiong Kiong dari zon tengah, Edmund Bong, Chay Yean Keong, Ricardo Sim dan Yap Teck Lim dari zon selatan dan Elvis Wong, Hii ??Siew Chuan, Tomson Macus dan Hii Sui Huong dari zon utara.

Mereka layak ke kejohanan tersebut setelah muncul empat pemain teratas dalam kategori masing-masing yang diadakan di Kuching, Sibu dan Miri baru-baru ini.

Yeo, ketika dihubungi mengakui bahawa 12 pemain dari negeri ini masih belum pernah beraksi di kejohanan seumpama itu.

“ Ini adalah kali pertama dalam tempoh 10 tahun- Sarawak mengambil bahagian dalam kejohanan kebangsaan dan kami semua berasa teruja dan gementar.”

“ Menyertai kejohanan sebesar itu juga merupakan satu penghormatan bagi kami sebagai pemain profesional,” katanya.

Kejohanan mendapat restu Persekutuan snuker dan Biliard Malaysia (MSBF) telah menarik 128 penyertaan dari seluruh negara.

Antara nama besar mengambil bahagian termasuk pilihan utama kejohanan Lim Kok Leong, Moh Keen Hoo, Mohd Reza, Sam Chong dan Patrick Ooi.

Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM6,000, trofi dan Piala Pusingan.

Tempat kedua pula akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 dan peserta yang layak ke peringkat separuh akhir masing- masing akan mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.

Sementara itu peserta yang layak ke peringkat suku akhir masing-masing akan menerima RM500 manakala 16 yang lain akan mendapat hadiah wang tunai RM300.

Yeo, bagaimanapun beranggapan bahawa kejohanan itu merupakan pendedahan terbaik kepada mereka selain memberi peluang untuk gelaran berprestij.

“Kami akan bersaing dengan pemain elit dan ia bukan tugas yang mudah,” ujar beliau lagi.