Feri ro-ro Galaxy beroperasi di Labuan mulai Ahad ini

0

Mampu bawa 88 kenderaan, 343 penumpang satu perjalanan

LABUAN: Perkhidmatan feri baharu di Labuan akan memulakan pelayaran sulungnya pada Ahad ini, sekali gus merangsang pengangkutan laut di pulau bebas cukai ini.

Feri ro-ro Galaxy dioperasikan oleh syarikat Juta Bonus Sdn Bhd yang berpangkalan di Sabah mampu membawa 88 kenderaan dan 343 penumpang untuk satu hala perjalanan.

Pengoperasian khidmat feri itu pada Ahad ini bermakna sebanyak lima feri beroperasi menghubungkan pulau ini dengan tanah besar Sabah.

Ejen tiket feri tersebut Binabalu Sdn Bhd memberitahu untuk hari pertama, perkhidmatan feri itu akan melakukan dua pelayaran dari Menumbok, Sabah ke Labuan pada jam 11.30 pagi dan jam 6 petang dari Labuan ke Menumbok.

Pengurusnya, Ai Ling berkata feri itu akan melakukan dua pelayaran sehari dari Labuan pada jam 8.30 pagi dan jam 6.30 petang, sementara dari Menumbok pada jam 6 pagi dan jam 11.30 pagi.

Juta Bonus turut mengoperasikan sebuah lagi feri, Kimanis 1, juga untuk laluan Menumbok-Labuan.

Satu lagi syarikat operator feri, Labuan Mainland Link Sdn Bhd mengoperasikan Putrajaya 1 dan MV Goodwill Star dengan kekerapan tiga pelayaran sehari.

Sementara itu, operator feri paling lama Labuan Ferry Corporation Sdn Bhd (LFC) mengendalikan operasi Wawasan Perdana dengan dua pelayaran sehari.

Pengerusi Labuan Mainland Link Datuk Chin Hon Vui menyambut baik tambahan perkhidmatan feri itu yang mampu memenuhi peningkatan jumlah penumpang dari tanah besar Sabah dan Sarawak ke Labuan atau sebaliknya.

“Ia persaingan yang sihat kerana kami boleh memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada orang ramai,” katanya. — Bernama