Golf remaja terus dibangun

0

Kerajaan komited hulur sokongan kewangan untuk lahir pemain berkelas dunia

// Oleh Harry Ilias //

TAHNIAH: Lee menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori remaja lelaki D, Saxen Hii sambil disaksikan Hoan.

TAHNIAH: Lee menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori remaja lelaki D, Saxen Hii sambil disaksikan Hoan.

KUCHING: Pembangunan sukan golf remaja sangat penting sebagai landasan untuk membentuk dan melahirkan pemain berkelas dunia.

Menyedari hakikat ini, kerajaan negeri bersedia meneruskan komitmen dengan menghulurkan sokongan padu dalam bentuk bantuan kewangan untuk program tersebut.

Ini boleh dilihat menerusi penganjuran Kejohanan Golf Piala Ketua Menteri Sarawak yang menjadi landasan bagi pemain remaja mengetengahkan bakat mereka bersaing dalam pertandingan kompetitif bersama pemain dari rantau Asian.

“Pejabat Ketua Menteri dan kerajaan negeri telah menyumbang sejumlah RM1.5 juta bagi tujuan penganjuran Kejohanan Piala Ketua Menteri Sarawak sejak ia diperkenalkan dan sokongan ini akan diteruskan,” ujar Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian hadiah Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Piala Ketua Menteri Sarawak Ke-17 yang diadakan di Kelab Golf Sarawak (KGS) semalam.

Menurut Lee, penyertaan ramai bakat muda dari rantau Asia pada kejohanan tersebut dengan yang termuda berusia lapan tahun amat menggembirakan beliau.

“Tahniah kepada Persatuan Golf Sarawak (SGA) dan Presidennnya, Hoan Kee Hock serta KGS kerana sekali lagi berjaya menjadi tuan rumah kejohanan bertaraf dunia ini dengan berjaya,” tambah beliau.

Sementara itu, pemain Sabah, Suzairi Iqmah dan Filipina, Princess Superal muncul pemenang kategori lelaki dan perempuan pada kejohanan yang melabuhkan tirainya semalam.

Suzairi, 16, dari Persatuan Golf Sabah mencatat markah gross 221 (74-73-74) untuk mengungguli kategori lelaki remaja A.

Beliau turut menjuarai kategori berpasukan bersama Victor Ng Yu Kai, Casper Loh dan Fazley Chua selepas mengumpul 678 mata.

Naib juara dimenangi atlet bayangan SUKMA Sarawak, Aziel Teo Ken Yi dengan 225 mata, diekori Lim Beng Keat (226), Casper Loh (228) dari Persatuan Golf Sabah dan Kim Taewoo (230) dari Korea Selatan.

Alvin Hiew dari Johor pula muncul pemenang kategori Remaja Lelaki Istimewa dengan mengutip 231 mata manakala Fazley Chua mewakili Persatuan Golf Sabah di tempat kedua berdasarkan kiraan semula (OCB) selepas berkongsi mata dengan Azim Junaidi dari Kelab Golf Miri dengan 232 mata.

Dalam kategori perempuan, Princess Superal muncul juara dengan mengumpul 212 mata untuk membawa pulang trofi cabaran Ketua Menteri Sarawak.

Tempat kedua Norashahira Alisa Che Omar dari Johor.

Filipina turut menyapu bersih kategori perempuan A menerusi Pauline Del Rosario (217), Mikhaela Fortuna (222) dan Abegail Arevalo (225).