Kementerian Kewangan berusaha tingkat perkhidmatan, penerima BR1M sasarannya

0
TAMAT: Khalid (tengah) bersama Abang Sardon (tiga kiri) serta Pengarah Penyiaran Sarawak Salmah Ibrahim (tiga kanan) bersama peserta taklimat merakam kenangan selepas majlis, semalam.

TAMAT: Khalid (tengah) bersama Abang Sardon (tiga kiri) serta Pengarah Penyiaran Sarawak Salmah Ibrahim (tiga kanan) bersama peserta taklimat merakam kenangan selepas majlis, semalam.

KUCHING: Kementerian Kewangan berusaha mempertingkatkan perkhidmatan bersama agensi berkaitan dengan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah golongan sasarannya.

Timbalan Setiausaha Bahagian Fiskal dan Ekonomi Kementerian Kewangan Dr Khalid Abdul Hamid berkata, selain mendapatkan data daripada sistem e-Kasih, kementerian akan bekerjasama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Tujuan program BR1M adalah untuk mengurangkan kemiskinan di negara ini dan mereka yang layak menerima-nya adalah berdasarkan data dalam sistem e-Kasih.

“Namun disebabkan kita mahukan mereka yang benar-benar layak menerimanya maka kita akan mempertingkatkan lagi dengan kerjasama agensi lain agar penerima BR1M adalah golongan bersasar atau adil dan bukannya tersasar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab selepas menyampaikan Taklimat Bajet 2016 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak yang dihadiri Pengarahnya Abang Sardon Abang Hashim di sini, semalam.

Menurut Khalid, sebelum ini sistem penyampaian BR1M kepada penerima mungkin mempunyai sedikit permasalahan sebelum saluran terus ke akaun bank penerima diperkenalkan.

Katanya bantuan terus ke akaun bank itu bagi memudahkan penerima khasnya di luar bandar agar tidak berulang-alik mengambil baucar yang menggunakan kos pengangkutan kepada mereka.

Mengenai BR1M pada tahun depan, Khalid berkata, pendaftaran bantuan itu akan dibuka pada awal 2016 dan pemberiannya masih menggunakan saluran terus ke akaun penerima.

Sementara itu Abang Sardon dalam ucapan rasmi penutupan majlis berkenaan berkata, Bajet 2016 yang dibentangkan pada Oktober lepas adalah bajet yang amat menyeluruh dan inklusif kepada semua sektor serta rakyat.

Menurutnya ia termasuk rakyat Sarawak, yang mana banyak peruntukan dalam pelbagai sektor turut diberikan kepada masyarakat negeri ini.

“Bagaimanapun kita berharap juga ada segelintir permohonan atau cadangan daripada pihak berkaitan mengenai bajet sama ada elaun atau gaji mereka dapat dipertimbangkan kerajaan.

“Misalnya mempelbagaikan jualan barangan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) kerana ia amat signifikan kepada rakyat negeri ini khasnya di luar bandar,” katanya.

Taklimat yang bermula jam 9 pagi itu semalam dihadiri kira-kira 200 peserta terdiri daripada ketua masyarakat, ketua jabatan dan wakil agensi kerajaan.