Long Panai, Long Bemang dilanda banjir

0

Paras air terus meningkat, bantuan makanan terpaksa dihantar melalui udara

// Oleh Clare Cinderella //

BARAM TERJEJAS: Paras air di Long Panai dan Long Bemang terus meningkat, bantuan makanan dihantar melalui udara.

BARAM TERJEJAS: Paras air di Long Panai dan Long Bemang terus meningkat, bantuan makanan dihantar melalui udara.

MIRI: Paras air di Long Panai dan Long Bemang, di Baram terus meningkat dan mulai membanjiri tingkat bawah rumah panjang di kedua-dua kawasan, menyebabkan penduduk kini mulai bergantung kepada bantuan luar menghantar bekalan makanan.

Di Long Bemang, ketua kaumnya, Usang Deng memberitahu sehingga jam 1 petang semalam, banjir sudah berada pada paras 30 sentimeter dari lantai di tingkat bawah rumah panjang dua tingkat  dan sehingga jam 5 petang semalam, paras air mencecah dua kaki tinggi.

Namun katanya, hanya 103 pintu, daripada 250 pintu terjejas, manakala baki lain masih selamat kerana berada di kawasan tanah tinggi.

“Keadaan ini mulai menyukarkan kami dan bekalan makanan amat diperlukan ketika ini untuk penduduk di rumah panjang,” jelasnya sambil menambah bahawa kawasan sekitar sekolah di Long Bemang juga sudah mulai ditenggelami air.

Sementara itu di Long Panai paras air sudah mencecah ketinggian satu meter dengan semua penduduk kampung diarah waspada dan mula berpindah ke tingkat dua rumah panjang 126 pintu tersebut, selepas paras air mencecah sehingga tiga kaki, petang semalam.

Seorang penduduk kampung, Jau Laing memberitahu Utusan Borneo petang semalam, paras air semakin naik berbanding sebelumnya dan sehubungan itu pihaknya meminta anggota penguat kuasa memantau keadaan dan memaklumkan kepada mereka sama ada banjir  sudah mencapai paras bahaya atau masih terkawal.

“Bagaimanapun kita sudah mengingatkan golongan warga emas dan kanak-kanak agar menjauhi kawasan ditenggelami air ini kerana arus yang agak deras di beberapa tempat,” katanya sambil menambah semalam sudah masuk hari ketiga Long Panai dilanda banjir dan sehingga awal petang semalam, masih tiada tanda-tanda air akan surut.

Setiap tahun kawasan Long Panai turut menempatkan sebuah sekolah menengah dan rendah, merupakan kawasan pertama kerap dilanda banjir kerana terletak di kawasan rendah dan berhampiran tebing Sungai Baram.

Sementara itu, ADUN Telang Usan, Dennis Ngau ketika dihubungi semalam, memberitahu, sehingga kini seramai 5,816 orang penduduk dari lima buah kampung, terjejas akibat banjir yang melanda.

“Ketika ini paras air masih naik dan kekal di Long Panai, Long Bemang dan Long Ukok, manakala air sudah mulai surut di Long Imam dan Kampung Melinau di Mulu.

“Arahan untuk menghantar bekalan makanan ke kawasan terjejas sudahpun dikeluarkan dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudahpun menguruskan pengagihan makanan dan keperluan asas,” katanya.

Menurut Dennis, bekalan makanan ke kawasan Long Imam, Kampung Melinau dan Long Panai dihantar menggunakan helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri mulai semalam.

Manakala bantuan yang sama ke Long Bemang dan Long Ukok di Tutoh, akan dihantar hari ini.

“Kita akan terus menggunakan khidmat helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri dalam proses penghantaran makanan, kerana ia lebih cepat dan mudah berbanding menggunakan pengangkutan sungai,” tambahnya lagi.

AGIH: Penduduk kampung berganding bahu memunggah bekalan makanan yang dihantar menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri di Long Panai, Ulu Baram, semalam.

AGIH: Penduduk kampung berganding bahu memunggah bekalan makanan yang dihantar menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri di Long Panai, Ulu Baram, semalam.