SBBA seru sokongan kewangan bangun sukan bina badan Sarawak

0

KUCHING: Persatuan Bina Badan Sarawak (SBBA) menyeru sokongan padu semua pihak khususnya dari aspek kewangan untuk memastikan kelestarian sukan yang kian diminati itu.

Set iausaha Kehormat SBBA, Andy Ismail berkata dengan Sarawak akan menjadi tuan rumah Kejohanan Bina Badan Mr Malaysia ke-47 pada 2016 di Sibu, persatuan kian terdesak untuk mengumpul dana bagi memastikan kejohanan tersebut dianjur dengan jayanya.

“Sarawak akan menjadi tuan rumah kejohanan ini selepas menunggu selama 10 tahun, justeru penting bagi SBBA menjadikan ia penganjuran terbaik pernah diadakan,” ujar Andy dalam kenyataannya semalam.

Menurut beliau, pencapaian Sarawak dalam kejohanan berprestij itu amat membanggakan dengan muncul juara keseluruhan dua tahun berturut-turut pada 2014 dan 2015.

Prestasi cemerlang itu memberi keyakinan kepada Sarawak untuk memburu gelaran hatrik pada temasya tahun depan, tambahnya.

“Sehubungan itu, kita amat mengharapkan kerjasama daripada pihak kementerian, badan bukan kerajaan mereka yang berkaitan untuk membantu kita merealisasikan impian ini untuk Sarawak,” katanya lagi.

Andy berkata beliau dan Presiden SBBA, Datuk Wee Hong Seng telah mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Sibu (SBWA) yang akan menjadi penganjur kejohanan dijadualkan dari 20 hingga 22 Mei 2016.

Katanya lagi, Sarawak cukup terkenal kerana banyak melahirkan atlet bina badan bertaraf dunia namun kekangan kewangan masih menjadi cabaran utama untuk mengembangkan program pembangunannya di sini.

“Kenyataannya, bina badan antara sukan yang banyak menyumbang kejayaan buat negara menerusi atlet kebangsaan, Sazali Samad yang merupakan juara Mr Universe sebanyak 10 kali dan Olahragawan Kebangsaan sebanyak empat kali.

“Namun sukan ini masih dipandang sepi di sini.  Kita mempunyai atlet berprestasi tinggi namun untuk mengekalkan pencapaian mereka sudah tentu memerlukan dana yang besar,” katanya.

Sementara itu, Andy berharap dua atlet negeri, Awang Mohamad Azizul Ghani dan Dr Malvern Abdullah beroleh kejayaan cemerlang pada Kejohanan Bina Badan Dunia WBPF 2015 yang sedang berlangsung di Bangkok, Thailand hingga 30 November ini.

“Saya mendoakan kedua mereka dapat membawa pulang kejayaan membanggakan untuk Sarawak dan negara.

“Ini yang kita mahu untuk melihat Sarawak terus melahirkan lebih ramai atlet berkelas dunia dan berharap semua pihak turut menyokong sukan bina badan negeri,” Andy katanya.