Aksi Bintulu-Miri dijangka sengit

0

BINTULU: Aksi Bintulu- Miri dijangka sengit pada Kejohanan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) di Padang Turf Bintulu Dewan Suarah di sini jam 3.30 petang ini.

Ketua jurulatih Miri, Mohd Hakimi Man mengharapkan anak-anak buahnya dapat menyesuaikan diri dalam perlawanan di padang rumput tiruan sekali gus dapat menyerapkan tekanan dengan baik daripada lawan.

“Barisan serangan perlu memanfaat sepenuhnya peluang yang terhidang dalam perlawanan itu.

Apa yang pasti, kami perlu fokus dalam tempoh 90 minit perlawanan,” katanya semalam.

Menurutnya, semua pemain perlu berdisiplin dan aplikasi pelan taktikal pasukan yang diterapkan.

“Setinggi-tinggi penghargaan barisan kejurulatihan yang melaksanakan tugas dengan cemerlang sehingga melonjakkan Miri selaku pendahulu kumpulan ketika ini,” jelasnya.

Barisan kejurulatihan terdiri pembantu jurulatih Marcos Ibrahim, jurulatih kecergasan, Fadillah Ibrahim dan Arwandy Wasli serta jurulatih penjaga gol, Hamri Ali dan Ismail Lumut.

Setakat ini skuad Miri mengumpul enam mata dengan meraih dua kemenangan dalam dua perlawanan yang diharunginya.

Berada di belakangnya skuad Limbang mengumpul empat mata dengan meraih satu kemenangan dan satu seri dalam dua perlawanan.

Diikuti Bintulu, Sibu dan Mukah.

Zon Selatan menyaksikan Samarahan sebagai pendahulu dengan mengumpul enam mata, diikuti Kapit (4 mata), Kuching (3 mata), Sarikei (1 mata), Betong (1 mata) dan Sri Aman (1 mata).

Sementara itu, perasmian dijangka disempurnakan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing serta dihadiri Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA), Duke Janteng.

LBR dibahagikan kepada dua kumpulan merangkumi Zon Selatan terdiri Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Kapit dan Zon Utara membabitkan Limbang, Miri, Bintulu, Mukah, Sibu untuk saingan di Sarawak.