Pengarah UMSKAL kecewa laporan akhbar tempatan

0

KOTA KINABALU: Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Prof Madya Dr Murnizam Halik melahirkan kekecewaan beliau terhadap kenyataan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris mengenai masalah air di universiti itu.

“Saya kecewa kerana kenyataan mengenai masalah air yang dikeluarkan di akhbar tempatan berbahasa Inggeris, yang mana isi kandungannya adalah hampir sama dengan kenyataan yang dikeluarkan pada bulan April lepas, tidak mencerminkan keadaan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Beliau mengakui bahawa memang terdapat masalah air di UMSKAL disebabkan oleh masalah pada loji air di Sungai Pagar namun masalah itu bukannya tertuju kepada UMSKAL sahaja tetapi juga di kampung-kampung yang berdekatan.

Selain itu tambahnya, masalah itu bukannya masalah dalaman UMSKAL seperti yang didakwa oleh wartawan berkenaan. Maklumat yang tidak berdasarkan fakta atau merujuk kepada UMSKAL hanya akan mengundang persepsi yang kurang baik terhadap pengurusan universiti yang seolah-olah tidak mengambil berat mengenai masalah seperti itu.

“Kenyataan akhbar yang tidak beretika itu boleh menggugat kesohoran jurusan kewartawanan yang selama ini mempunyai integriti yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Murnizam berkata berdasarkan laporan Jabatan Bekalan Air (JBA) Labuan terdapat paip pecah dalam loji di Sungai Pagar, pada 24 November 2015 yang menyebabkan pam tidak dapat dijalankan untuk membekalkan air ke beberapa kawasan berhampiran termasuk UMSKAL, Kampung Sungai Labu dan sebahagian Kampung Sungai Lada.

Kenyataan JBA itu juga melaporkan kerja pembaikan telah siap dan bekalan air akan beransur pulih mulai kelmarin.

“Bagaimanapun, pihak JBA akan terus memantau dan penghantaran air menggunakan tangki masih diteruskan sehingga bekalan air pulih sepenuhnya,” kata kenyataan JBA melalui laman media.

Sementara itu, Bahagian Pembangunan dan Penyelenggaraan (BPP) UMSKAL menyatakan semasa masalah air itu berlaku JBA telah menghantar air menggunakan lima lori tangki pada 24 dan 25 November ke kolej kediaman UMSKAL di Jalan Sungai Pagar.

Selain itu, UMSKAL juga telah menyewa lori swasta untuk menampung kekurangan bekalan air di UMSKAL sehingga keadaan pulih seperti sedia kala.

“BPP UMSKAL sudah mengambil langkah dengan memantau masalah itu termasuk memastikan kesemua tangki 5,000 gelen di kolej kediaman diisi. Bagaimanapun, saya menggesa agar pelajar berjimat cermat dalam menggunakan air untuk sementara waktu,” katanya.