Sarawak damba kemenangan

0
SEDIA GEMPUR: Pemain-pemain Sarawak memanaskan badan sebelum sesi latihan persiapan menghadapi Selangor dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam malam ini.

SEDIA GEMPUR: Pemain-pemain Sarawak memanaskan badan sebelum sesi latihan persiapan menghadapi Selangor dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam malam ini.

David yakin skuadnya mampu bangkit pada suku akhir kedua hadapi S’gor malam ini

Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Pengendali sementara Sarawak, David Usop percaya skuad bimbingannya mampu bangkit pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2015 menentang Selangor di Stadium Shah Alam, Selangor malam ini.

Meskipun akur tugas berat menanti mereka selepas dikejutkan dengan kekalahan tipis 2-1 di laman sendiri Selasa lalu, David tetap menaruh harapan tinggi di bahu semua pemainnya untuk mengatasi defisit dua gol bagi melayakkan Sarawak ke pusingan seterusnya.

“Tiada mustahil dalam bola sepak dan saya percaya kita masih berpeluang mengatasi lawan.

Namun saya yakin semua pemain tidak mensia-siakan peluang memburu gol awal dan memberi fokus sepenuhnya bagi mengekang asakan barisan Selangor,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut David, semua pemainnya disahkan cergas dan bebas daripada kecederaan sekali gus memberi tonik tambahan kepada persiapan skuad Ngap Sayot menghadapi tentangan skuad Gergasi Merah pimpinan Mehmet Durakovic malam ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan melakukan rombakan kecil bagi memperkuat semua posis skuadnya bagi menggunakan segala peluang memburu kemenangan.

“Saya tetap yakin dengan barisan pemain yang ada untuk menggalas tugas penting ini,” katanya.

Sarawak perlu menang dengan jaringan sekurangkurangnya 2-0 untuk memastikan mereka melangkah ke peringkat separuh akhir.

Perlawanan kedua-dua pasukan akan bermula jam 8.45 malam.

Sarawak dijangka membariskan Iqbal Suhaimi, Ryan Griffiths, Billy Mehmet, Patrick Gerhardt, J Partiban, Ashri Chuchu, Shahrol Saperi, Ronny Harun, Rames Lai Ban Huat, Hairol Mokhtar, Ivan Fatic.