Jangan jual baja, racun subsidi: KM

0
HASIL TANI: Adenan mendengar penerangan mengenai produk tani yang dipamerkan di HPPNK di pekarangan Dewan Suarah Kota Samarahan semalam. Turut kelihatan, isterinya Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu dan Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

HASIL TANI: Adenan mendengar penerangan mengenai produk tani yang dipamerkan di HPPNK di pekarangan Dewan Suarah Kota Samarahan semalam. Turut kelihatan, isterinya Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu dan Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Oleh Saibi Gi //

KOTA SAMARAHAN: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengingatkan petani menerima subsidi baja dan racun agar tidak menyalahgunakan bantuan kerajaan itu dengan menjualnya bagi memperoleh keuntungan singkat.

Menurutnya, pernah berlaku di Sarawak sebelum ini penerima bantuan pertanian itu menjualnya, dan situasi sedemikian telah menjejaskan matlamat sebenar kerajaan.

“Ia bertujuan mengurangkan kos pertanian dan pada masa yang sama meningkatkan hasil pertanian.

“Saya berharap semua warga tani menggunakan bantuan ini sebaik-baiknya dan tidak menyalahgunakan untuk tujuan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2015 di pekarangan Dewan Suarah semalam yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau membidas golongan yang berpura-pura menjadi petani semata-mata hendak mendapatkan bantuan seperti baja dan racun disediakan kerajaan.

Adenan berkata lagi, kerajaan negeri amat menghargai sokongan kerajaan persekutuan dalam pembangunan sektor pertanian di Sarawak.

Justeru, beliau berharap sokongan itu dapat diterus bagi membantu sektor itu berkembang lebih pesat terutama dari aspek pemasaran.

Katanya, antara cabaran meningkatkan prestasi pemasaran hasil pertanian di negeri ini ialah jaringan jalan raya bagi tujuan pengangkutan.

Sektor pertanian merupakan penyumbang keempat kepada ekonomi Sarawak pada tahun lepas iaitu sebanyak 14 peratus dengan nilai RM14.86 bilion.

Adenan berkata lagi kerajaan negeri ketika ini memberi tumpuan terhadap pembangunan pertanian di luar bandar termasuk kawasan yang jauh di pedalaman bagi memastikan tiada petani ketinggalan daripada arus pembangunan.

“Selain itu pelbagai inisiatif kerajaan dilaksana bagi memantapkan pembangunan di luar bandar.

“Kemudahan infrastruktur pertanian seperti jalan ladang atau jalan pertanian perlu disediakan bagi memudahkan aktiviti pertanian dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Datuk Mohamad Dolmat berkata dalam usaha memastikan bekalan negara terus mencukupi sektor pertanian memerlukan peranan aktif dengan membabitkan para belia.

Jelas beliau sektor pertanian yang melibatkan belia adalah amat kurang terutamanya dari segi penternakan ikan yang perlu dipergiatkan lagi.

“Dalam perkara ini kita perlu memperlengkapkan maklumat serta teknologi dalam pertanian atau penternakan ikan kepada belia agar mereka mampu berdaya saing khasnya di persada dunia.

“Kita mahu mereka merebut peluang dan meningkatkan produktiviti pertanian melalui teknologi supaya sasaran kerajaan yang ditetapkan dapat dicapai,” katanya.