Pasangan Mahani dan Ismail, Ibah dan Penghulu Joseph dinobat Keluarga Contoh DUN Lingga

0

SRI AMAN: Dua keluarga menerima Anugerah Keluarga Contoh Dewan Undangan Lingga 2015 sempena Sambutan Hari Wanita Peringkat (DUN) Lingga diadakan di Dewan Suarah, Sri Aman baru-baru ini.

Dua keluarga terbabit ialah pasangan Mahani Drahman dan Ismail Latif dari Kampung Hulu, Sri Aman dan pasangan Ibah Sintong dan Penghulu Joseph Lichong dari Kampung Pruan, Sri Aman.

Mahani dan Ismail menerima anugerah terbabit setelah berjaya mendidik enam orang mereka hingga ke peringkat pengajian universiti hingga memegang jawatan tertinggi dalam pelbagai bidang sektor swasta serta awam.

Mahani juga pernah menjawat pelbagai jawatan dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)

Manakala Ibah Sintong dan Penghulu Joseph pula berjaya mendidik empat orang anak mereka hingga ke peringkat universiti dan memegang jawatan tertinggi dalam bidang pendidikan serta perubatan.

Ibah juga aktif dalam menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan di sini selain menjadi salah seorang daripada Ahli Jawatankuasa Wanita Ranting PBB bagi Kawasan Pruan, Sri Aman.

Majlis itu juga menyaksikan Pemanca Mas Shamsiah Maslem menerima Anugerah Khas ADUN N.23 Lingga bagi mengiktiraf jasa serta khidmat bakti beliau dalam PBB semenjak dari tahun 1970 hingga 2011.

Pemanca Mas Shamsiah sangat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan pernah menjawat pelbagai jawatan dalam Parti PBB sehingga beliau dilantik sebagai Pemanca bagi Bahagian Sri Aman pada  2011.

ADUN Lingga, Simoi Peri diberi penhormatan menyampaikan sijil penghargaan, plak, jambangan bunga dan wang tunai bernilai RM1,000 kepada setiap penerima ini dan seterusnya merasmikan majlis tersebut.