Pemasaran diperluas

0
ISTIMEWA: (Dari kiri) Ahmad Shabery, Najib dan Adenan melihat ikan empurau sebagai simbolik perasmian Hari Peladang, Penternak, Nelayan Peringkat Kebangsaan 2015 (HPPNK) di Dewan Suarah Kota Samarahan, semalam.

ISTIMEWA: (Dari kiri) Ahmad Shabery, Najib dan Adenan melihat ikan empurau sebagai simbolik perasmian Hari Peladang, Penternak, Nelayan Peringkat Kebangsaan 2015 (HPPNK) di Dewan Suarah Kota Samarahan, semalam.

Sarawak bakal miliki empat lagi pasar tani, 10 Agrobazar tahun depan.

Oleh Saibi Gi dan Jessica Jawing //

KOTA SAMARAHAN: Sarawak bakal memiliki empat lagi pasar tani dan 10 kedai Agrobazar Rakyat 1Malaysia (ABR1M) tahun hadapan sejajar hasrat kerajaan menambah peluang pemasaran produk pertanian.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Medan Niaga Satok yang dikenali ramai wajar diwujud lebih banyak di negeri ini kerana ia memberi manfaat besar kepada golongan petani dan rakyat.

Menurutnya, jumlah itu sebahagian daripada 50 pasar tani dan 150 ABR1M baharu di seluruh negara menerusi Bajet 2016.

Selain memberi tumpuan mengembangkan potensi pemasaran produk pertanian, beliau berkata, kerajaan menyediakan peruntukan RM5.3 bilion tahun hadapan khusus untuk sektor pertanian.

Menurutnya, aspirasi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berasaskan sektor pertanian wajar dibangun seiring dengan sektor lain.

“Potensi sektor pertanian amat besar tetapi memerlukan usaha gigih semua pihak kerana ia tidak popular seperti sektor lain.

“Tetapi kalau usaha bersungguh-sungguh dengan pemberian bantuan daripada kerajaan, saya percaya potensinya amat besar sekali,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Peladang, Penternak, Nelayan Peringkat Kebangsaan 2015 (HPPNK) di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Kerajaan menurutnya, ingin melihat sektor pertanian lebih berkembang agar dapat menjana banyak pendapatan rakyat yang menceburi sektor berkenaan.

Di negeri ini katanya antara produk istimewa ialah beras Bario, justeru ia harus ditambah jumlah pengeluarannya.

“Pada masa ini keluasan beras Bario ialah 285 ekar dan daya pengeluaran telah ditingkat daripada 1.6 tan kepada 3.5 tan sehektar, hasil usaha kerajaan seperti pengairan dan mekanisme lebih baik lagi.

“Selain beras Bario, beras Bajung dan Biris dapat ditanam lebih meluas lagi sebab permintaan tinggi.

“Harganya lebih tinggi berbanding beras biasa dan pendapatan petani kita akan bertambah,” jelasnya.

Mengenai produk ternakan ikan Empurau, beliau berkata beliau berharap penyelidikan akan dilaksanakan bagi meningkatkan pengeluaran ikan bernilai tinggi itu.

Pengeluaran bertambah menurut Najib akan disusuli dengan peningkatan pendapatan penternak ikan tersebut.

Bagi sektor perikanan, Najib berkata Kompleks Perikanan berharga RM250 juta di Tanjung Bako, Kuching dijangka siap pada 2017, manakala Kompleks Pendaratan Ikan di Beladin, Betong kos RM21 juta dijangka siap pada 2016.

Najib seterusnya berkata beliau bersetuju dengan pengiktirafan sebagai wira diberi oleh Ahmad Shabery kepada kumpulan peladang, penternak dan nelayan.

Katanya, mengikut perkiraan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) menjelang 2020 jumlah penduduk dunia adalah sekitar 9.7 bilion, berbanding 7.2 bilion ketika ini.

“Jika pengeluaran makanan tidak ditingkat kepada 60 peratus daripada keadaan sekarang, dunia akan mengalami masalah kebuluran yang agak serius nanti

“Ini bererti soal jaminan makanan merupakan satu daripada cabaran besar perlu ditangani dunia.

“Selain ancaman keganasan fahaman ekstrem dan perubahan iklim. Saya anggap jaminan makanan satu aspek perlu diberi perhatian serius,” katanya.

Najib berkata,   ketika ini juga, kita (negara) mengalami defisit kira-kira RM17 bilion setahun, maknanya dari segi agromakanan, RM17 bilion defisit, kita import (hasil agro makanan) lebih dari kita eksport sebanyak lebih RM17 bilion.