Remaja 13 tahun lemas ketika mandi tasik

0
SEBAK: Ibu mangsa (dua kanan) gagal mengawal perasaan apabila melihat mayat anaknya terbujur kaku.

SEBAK: Ibu mangsa (dua kanan) gagal mengawal perasaan apabila melihat mayat anaknya terbujur kaku.

KUCHING: Seorang remaja berusia 13 tahun mati lemas ketika mandi sebuah tasik di Jalan Stutong Baru, di sini.

Mangsa dikenal pasti sebagai Muli Jayet dikatakan mandi bersama rakan-rakan jam 12 tengah hari di tasik itu apabila tiba-tiba tenggelam lalu hilang daripada penglihatan.

Rakan-rakannya cemas kemudian dikatakan pulang ke rumah masing-masing sebelum memaklumkan perkara itu kepada keluarga.

Menurut Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching Tiong Ling Hii, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu jam 2.13 petang, kira-kira dua jam selepas mangsa dipercayai lemas.

Mangsa berjaya ditemui oleh anggota kira-kira jam 2.47 petang selepas tiga anggota melakukan penyelaman ke dalam tasik dianggarkan dalam melebihi lima kaki.

“Mangsa mandi bersama rakan-rakan dipercayai lemas setelah tersangkut di bawah kayu dalam tasik tersebut.

“Mangsa berjaya dijumpai kira-kira jam 2.47 petang,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

Difahamkan, keluarga mangsa yang berasal dari Sungai Nibong, Kota Samarahan tinggal di kawasan perumahan kos rendah di Stutong.