33 atlet pelbagai pusat ikuti bengkel wushu WFS

0

KUCHING: Seramai 33 atlet dari pelbagai pusat kecemerlangan wushu sedang mengikuti bengkel wushu Persekutuan Wushu Sarawak (WFS) yang diadakan di ibu pejabat WFS di Tabuan Laru dari 23 November hingga 23 Disember 2015.

Antara yang terlibat lapan atlet pelapis SUKMA XVIII dan peserta dari Kuching, Sibu dan Sarikei.

Bengkel dikendalikan oleh Ketua Jurulatih Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Lau Hui Wei, Jurulatih Pusat Kecemerlangan MSNS Kuching, Ling Ung Heed dan jurulatih dari Sibu, Wong Hua Yiing.

“Komponen dalam bengkel merangkumi asas sukan wushu, latihan fizikal serta mental,” ujar Lau.

Timbalan Presiden WFS, James Ting pula berkata bengkel tersebut memberi manfaat besar terutama terhadap pembangunan wushu di Sarawak secara menyeluruh.

“Selain mendedahkan pengetahuan asas wushu kepada peserta, jurulatih dari pusat kecemerlangan turut menerima manfaat dengan ilmu yang baharu serta kaedah menggunakan sains sosial dalam latihan.

“Ia sangat baik dan berguna untuk meningkatkan standard kejurulatihan dan perlu diteruskan.

“Kita juga memupuk disiplin di kalangan kanak-kanak kerana wushu merupakan sukan yang mementingkan disiplin yang tinggi,” menurut Ting.

Selain itu, Ting berkata peserta juga berpeluang membina dan mengukuhkan kerjasama sesama mereka menerusi bengkel itu nanti.

Ia juga menjadi landasan dalam mengeratkan hubungan antara jurulatih dan atlet, tambah beliau lagi.

Tegasnya, peserta juga didedahkan dengan maklumat seperti keperluan asas bagi atlet untuk dipilih menyertai skuad SUKMA.

“Bagi yang tidak dipilih, pengetahuan yang diperolehi dari bengkel ini dapat membantu mereka di masa hadapan apabila bercadang untuk menjadi jurulatih atau pengadil,” katanya.