David tetap berpuas hati

0
AKSI MANTAP: Pemain Sarawak, Ryan Alan Griffiths (dua kiri) diasak pemain Selangor, Leandro Dos Santos pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2015 di Stadium Shah Alam, semalam. — Gambar Bernama

AKSI MANTAP: Pemain Sarawak, Ryan Alan Griffiths (dua kiri) diasak pemain Selangor, Leandro Dos Santos pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2015 di Stadium Shah Alam, semalam. — Gambar Bernama

Berjaya membawa Sarawak hingga ke peringkat suku akhir Piala Malaysia

KUCHING: Ketua jurulatih sementara Sarawak, David Usop tetap berpuas hati selepas berjaya membawa skuad itu hingga ke peringkat suku akhir kempen Piala Malaysia 2015.

Bagi David, sumbangan singkatnya terhadap Sarawak cukup bermakna kerana ia kali pertama beliau diberi kepercayaan untuk mengendalikan skuad senior.

“Ia tetap kejayaan membanggakan bagi saya selepas berjaya membawa Sarawak sejauh ini.

“Pengalaman ini cukup berharga dan menjadi kenangan paling bermakna sepanjang karier saya sebagai jurulatih,” katanya semalam.

Beliau berkata, pencapaian Sarawak dalam kejohanan berprestij itu kali ini amat membanggakan sambil percaya skuad itu mampu pergi jauh lagi pada musim depan.

Khidmat David berakhir selepas Sarawak tersingkir daripada saingan Piala Malaysia apabila sekadar seri 1- 1 dengan Selangor pada aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam kelmarin.

Selangor mara dengan agregat 3-2 hasil kemenangan 2-1 di Stadium Negeri pada suku akhir pertama.

Datuk K Rajagobal akan mengambil alih tugas sebagai ” “ ketua jurulatih baharu Sarawak bermula 1 Disember depan.

“Saya berharap jurulatih baharu, Datuk K Rajagobal akan membawa pembaharuan dan kejayaan membanggakan untuk Sarawak pada musim depan,” ujar David.

Mengenai masa depannya dengan skuad senior, David berkata ia terserah kepada pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) sambil menambah kata, kontraknya akan berakhir hujung bulan ini.