Pelbagai peluang disediakan kerajaan untuk wanita dan belia

0

KENINGAU: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memberi keutamaan kepada golongan wanita dan belia di negeri ini khususnya daerah ini untuk terus maju dalam sektor ekonomi.

Katanya, pelbagai peluang disediakan bagi memastikan golongan ini terutama mereka yang tinggal di luar bandar dan pedalaman maju dalam sektor ekonomi.

“Apa yang penting, golongan ini perlu yakin dan percaya kepada diri sendiri untuk berjaya pada masa hadapan,” katanya semasa berucap merasmikan Perbincangan Kumpulan Berfokus Meningkatkan Pembangunan Sosio-Ekonomi Belia dan Wanita Di Keningau: Bagaimana Ia Boleh Dilakukan di hotel Perkasa di sini kelmarin.

Kurup berkata, apa-apa usaha ke arah pembangunan yang lebih inklusif dan pengagihan kekayaan yang seimbang hendaklah memberi tumpuan kepada generasi muda di negeri ini.

Katanya, segala usaha untuk memacu inisiatif pemerkasaan golongan belia dan kaum wanita daerah ini akan menyumbang dengan penuh ketara kepada usaha mengukuhkan perpaduan nasional.

“Dengan pemahaman yang lebih mendalam mengenai bagaimana untuk mewujudkan masa depan yang lebih seimbang dan inklusif, proses pengukuhan belia dan pemerkasaan kaum wanita dalam pembangunan daerah ini adalah asas untuk menggalakkan matlamat pembangunan inklusif yang lebih mampan,” katanya.

Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berpendapat, usaha ini perlu dimulakan dari sekarang agar program pembangunan terus diberi tumpuan dan dibangunkan di daerah ini agar anak-anak tempatan boleh menyumbang bakti kepada pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat selain keluarga mereka.

Beliau dimaklumkan bahawa dalam persidangan yang telah berlangsung pada September lalu, kerajaan menyedari akan keperluan membangunkan pendekatan strategik untuk mengukuhkan dan memperkasakan ekonomi wanita dan belia di luar bandar, daerah pedalaman dan daerah kecil di negeri ini.

“Saya menyeru agar institusi-institusi dan persatuan-persatuan wanita di negeri ini berganding bahu menggerakkan golongan wanita berilmu khasnya yang mendiami di daerah ini agar menjadi ejen perubahan yang prihatin dan berkesan,” katanya.

Katanya, berikutan maklum balas yang diterima daripada Persidangan ‘Enhancing National Unity and Integration between Sabah and Semenanjung: Towards a Common Destiny-Where Do We Go From Here’, yang telah berjaya dilangsungkan pada 16 September tahun ini.

Kurup berkata, pada perbincangan Kumpulan Berfokus yang diadakan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Asian Strategy and Leadership Institute (ASLI) melibatkan ahli kumpulan masyarakat peringkat akar umbi untuk lebih memahami isu-isu dan cabaran yang dihadapi bertujuan untuk membangunkan suatu dasar pembangunan yang pragmatik, Pelan Tindakan Negeri Sabah.

Katanya, pelan tindakan ini adalah suatu dokumen inklusif yang akan menyokong pembangunan inklusif yang lebih strategik dan menjadi kunci utama di dalam meningkatkan integrasi dan perpaduan.

“Saya difahamkan Pelan Tindakan ini akan mengenal pasti matlamat jangka pendek dan jangka panjang bagi tempoh tiga tahun akan datang dan bagaimana bentuk kerjasama di dalam sektor-sektor yang berbeza, berupaya mencapai matlamat ini.

“Pelan ini akan turut menggariskan strategi yang lebih fokus dan kerjasama serta mekanisme penyampaian yang lebih baik,” katanya.