Perubahan begitu besar dalam pembangunan Sabah

0
TERUS MAJU: Kurup (berdiri depan, tiga kiri), Delin (empat kiri), Douglas (dua kiri) dan Dr Madeline Berma (kanan) bergambar bersama-sama para peserta, penceramah dan pegawai-pegawai JPNIN dan ASLI.

TERUS MAJU: Kurup (berdiri depan, tiga kiri), Delin (empat kiri), Douglas (dua kiri) dan Dr Madeline Berma (kanan) bergambar bersama-sama para peserta, penceramah dan pegawai-pegawai JPNIN dan ASLI.

Kerajaan serius menangani masalah kemiskinan rakyat

KENINGAU: Pembangunan sosial negeri ini dan kemajuan ekonomi sejak tempoh 52 tahun yang lalu telah menampakkan perubahan yang begitu besar sekali, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup di sini.

Katanya, kadar kemiskinan di Sabah telah berjaya dikurangkan daripada 58.3 peratus pada 1970 kepada 19.7 peratus pada 2009.

“Ini menunjukkan kerajaan BN begitu serius bagi menangani masalah kemiskinan rakyat, sama ada di kawasan bandar mahupun di luar bandar di negeri ini,” katanya ketika berucap merasmikan Perbincangan Kumpulan Berfokus Meningkatkan Pembangunan Sosio-Ekonomi Belia dan Wanita di Keningau: Bagaimana Ia Boleh Dilakukan di hotel Perkasa di sini kelmarin.

Katanya, dalam Bajet 2016 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, kerajaan telah memberikan tumpuan dalam meningkatkan taraf hidup isi rumah B40.

Beliau berkata, TEKUN Nasional akan menyediakan RM600 juta yang meliputi RM500 juta untuk usahawan Bumiputera selain tambahan RM200 juta kepada dana sedia ada untuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi kemudahan pembiayaan mikro kepada isi rumah B40.

“Bagi meningkatkan kemahiran rakyat luar bandar, sebanyak RM50 juta disediakan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk program latihan kemahiran dan kerjaya serta program peningkatan pendapatan.

“Melalui kedua-dua program ini, peserta akan mendapat manfaat latihan kemahiran dan juga bantuan berbentuk aset serta bahan mentah.

“Kerajaan turut menyediakan RM100 juta kepada Institusi Latihan Kemahiran Swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi meningkatkan kemahiran B40 untuk mereka mendapat pekerjaan atau memulakan perniagaan,” katanya.

Kurup berkata, sumber asli yang banyak warisan kebudayaan yang kaya serta tenaga kerja dari kalangan golongan muda adalah faktor-faktor yang menyumbang kepada pembangunan yang lebih pesat kepada negeri ini.

Katanya, walaupun Sabah telah menikmati kemajuan, terdapat kebimbangan bahawa penyertaan inklusif dan kesaksamaan seharusnya dan sewajarnya menjadi satu komponen penting dalam penyediaan dasar-dasar sosialekonomi dan politik yang lebih luas.

Kurup difahamkan bahawa pembentangan yang disampaikan oleh Associate Prof Dr Madeline Berma dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan diikuti dengan perbincangan memberikan fokus kepada tiga bidang utama untuk merangsang pembangunan sosio-ekonomi, cabaran-cabaran untuk mendapat pekerjaaan di negeri ini dan bagaimana golongan belia daerah ini terlibat dengan lebih berkesan dan sumbangnya kepada pembangunan sosioekonomi di negeri ini.

Beliau berharap agar sesi Perbincangan Kumpulan Berfokus pada hari ini dapat menyusun agenda bagi memantapkan dan memperkukuhkan peranan wanita dalam bidang politik, agama, sosial, ekonomi dan kebudayaan.

Dengan kata lain katanya, wanita perlu diintegrasikan sebaiknya ke dalam arus pembangunan perdana melalui pemantapan ilmu pengetahuan dan teknologi terkini.

Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, apa yang menjadi matlamat penting bagi menentukan kesaksamaan ini ialah perubahan minda di semua peringkat agar tidak meletakkan wanita sebagai golongan kedua atau kurang berkemampuan.

Katanya, ini disebabkan wanita juga perlu bebas dari belenggu budaya mundur dan lebih berani tampil ke hadapan.

Lebih 100 orang terdiri pegawai-pegawai kerajaan, NGO, persatuan-persatuan wanita dan belia serta pemimpin masyarakat telah menghadiri sesi perbincangan itu yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Asian Strategy and Leadership Institute (ASLI).

Turut hadir pada sesi sehari itu ialah Pengarah JPNIN Sabah Delin Liet Blaun, Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Douglas Nyeging Taong dan pegawai-pegawai dari JPNIN dan Asli.