PSG dijamin juara Ligue 1

0

PARIS, Perancis: Paris Saint Germain (PSG) dijamin menamatkan tahun 2015 di tangga teratas Ligue 1 Perancis selepas menewaskan Troyes 4-1 pada hari dipenuhi dengan penghormatan kepada mangsa serangan pengganas di Paris sebelum ini.

Ia adalah satu kemenangan biasa buat PSG dengan Edinson Cavani dan Layvin Kurzawa menjaringkan gol di antara gol Zlatan Ibrahimovic dari satu tendangan penalti sebelum pemain muda, Jean- Kevin Augustin melengkapkan jaringan.

Thomas Ayasse menjaringkan gol saguhati Troyes tetapi kemenangan buat PSG berkata mereka masih belum tewas dalam liga domestik setakat musim ini dan masih sangat jauh di hadapan pencabar terdekat, menyebabkan mereka sudah mengesahkan ‘gelaran tidak rasmi’ juara musim luruh untuk pasukan yang menduduki tangga teratas liga pada musim cuti Krismas nanti.

“Ia sesuatu bagus untuk menjadi juara musim luruh kerana ia mengesahkan bahawa kami mengutip banyak mata tetapi ia tidak bermakna kami hampir pasti memenangi kejuaraan,” tegas jurulatih PSG, Laurent Blanc walaupun pasukannya menamatkan perlawanan dengan kelebihan 15 mata di singahsana liga.

Perlawanan juga penting kerana ia adalah perlawanan bola sepak peringkat tertinggi yang berlangsung di Paris sejak serangan pengganas di bandar raya itu dan di luar Stade de France semasa skuad kebangsaan Perancis menentang Jerman pada satu perlawanan persahabatan 13 November lalu, menyebabkan 130 orang maut dan ramai yang lain cedera.

Dengan Perancis masih dalam keadaan darurat, ada kawalan keselamatan ketat sepanjang perjalanan ke stadium Parc des Princes dan juga ada penghormatan diberikan sebelum sepak mula perlawanan.

Barisan pemain bola sepak terkenal dunia seperti Lionel Messi, Neymar, Wayne Rooney, Cristiano Ronaldo dan bintang sukan lain muncul dalam satu rakaman video yang disiarkan di skrin gergasi dengan mengucapkan slogan ‘Je Suis Paris’ (Saya Paris) dengan ungkapan itu dilihat di jersi pemain PSG.

Satu bendera Perancis yang besar dibentangkan oleh penyokong ketika lagu kebangsaan ‘La Marseillaise’ dipasang dan tafakur seminit dilakukan sebelum sepak mula, seperti yang dilakukan di seluruh Perancis dan Eropah minggu lepas.

Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls dan Emir Qatar, adalah antara penonton perlawanan di mana PSG adalah milik pemimpin negara Teluk itu.

PSG memburu rekod 24 perlawanan liga tanpa kalah menentang pasukan Troyes yang belum menang sejak kembali ke Ligue 1 pada musim ini dan ia jelas satu perlawanan berat sebelah.

PSG kini 15 mata di hadapan Angers, yang naik ke tangga kedua selepas menewaskan Lille 2-0 menerusi gol Gilles Suni dan Ismael Traore dalam separuh masa pertama.

Pada perlawanan hari Jumaat, Lyon tewas 2-4 kepada Montpellier di tempat sendiri.  — AFP