Anggota JPAM sedia digerak dalam tempoh tiga jam pertama banjir

0

KUALA NERUS: Seramai 11,800 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di seluruh negara sedia digerakkan dalam tempoh tiga jam selepas berlaku banjir sebagai tindakan awal membantu operasi bencana itu.

Ketua Pengarah JPAM, Ogu Salim Omar berkata jumlah itu akan ditambah kepada 30,000 anggota dalam tempoh 24 jam selepas bencana berlaku untuk memastikan kelancaran operasi.

“Seterusnya jumlah anggota akan ditambah sehingga mencukupi keperluan di sesuatu lokasi banjir dan sehingga kini kita mempunyai seramai 850,000 anggota sukarelawan di seluruh negara.

“Jumlah itu termasuk anggota tetap, sukarelawan dan Kor Siswa Siswi (SISPA) di Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang sudah diberi latihan asas dan menyelamat secara berterusan bermula Julai lalu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Simulasi Pengurusan Banjir Zon Timur 2015, di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah JPAM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman dan Pengarah JPAM Kelantan, Leftenan Kolonel (PA) Zainuddin Hussin.

Kira-kira 100 orang terlibat dalam simulasi tersebut termasuk orang awam serta anggota dan pegawai JPAM dari Terengganu, Kelantan, Pahang dan Sarawak.

Simulasi itu bertujuan menilai kemampuan dan kemahiran operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) anggota dan meningkatkan kemahiran membaca peta serta data berkaitan ketika menghadapi situasi banjir.

Mengulas lanjut, Ogu Salim berkata JPAM juga mempunyai aset serta kelengkapan yang mencukupi untuk menghadapi banjir kali ini termasuk 276 pelbagai jenis bot, 106 buah lori dan 196 buah kenderaan pacuan empat roda di seluruh negara.

“Bagaimanapun, kita berharap dapat menambah beberapa jenia aset lagi pada masa depan termasuk bot amfibia yang boleh digunakan di darat serta di air.

“Kenderaan pelbagai guna ini amat diperlukan bagi beberapa tujuan khusus untuk menambah kekuatan dan memastikan kelancaran tugas JPAM,” katanya. — Bernama