Bernard Then: PDRM akan mohon ekstradisi

0
NAIK PANGKAT: Khalid (kiri) menyematkan pangkat seorang pegawai kanan polis pada majlis pemakaian pangkat di Mes Pegawai Kanan Polis Bukit Aman semalam. Turut kelihatan Zulkifli Abdullah (dua kiri). — Gambar Bernama

NAIK PANGKAT: Khalid (kiri) menyematkan pangkat seorang pegawai kanan polis pada majlis pemakaian pangkat di Mes Pegawai Kanan Polis Bukit Aman semalam. Turut kelihatan Zulkifli Abdullah (dua kiri). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengemukakan permohonan ekstradisi kepada pihak berkuasa Filipina berikutan penahanan dua suspek dipercayai terlibat menculik dan membunuh rakyat Malaysia Bernard Then Ted Fen.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata permohonan ekstradisi ke atas kedua-dua suspek itu akan dibuat dalam masa terdekat, dan mereka akan disoal siasat di sini, dan jika didapati bersalah akan diambil tindakan undang-undang.

“Saya sudah memaklumkan secara lisan kepada mereka (pihak berkuasa Filipina) untuk membawa suspek ke negara ini,” katanya kepada pemberita selepas memakaikan pangkat kepada 21 pegawai kanan PDRM di sini, semalam.

Khalid berkata pihaknya akan menyiasat daripada semua aspek dan menghadapkan mereka ke muka pengadilan.

Difahamkan dua suspek yang menganggotai kumpulan pengganas Abu Sayyaf ditahan Jumaat lepas selepas dipercayai menculik dan membunuh jurutera berusia 39 tahun pada 17 November lalu.

Media antarabangsa melaporkan Then dipenggal kepalanya di lokasi terpencil yang menjadi kubu kuat militan Abu Sayyaf di selatan Filipina.

Then yang berasal dari Sarawak, telah diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah restoran makanan laut di Sandakan, Sabah pada 14 Mei lepas bersama pengurus restoran itu, Thein Nyuk Fun, 50.

Thien bagaimanapun dibebaskan pada 8 Nov lepas.

Dalam perkembangan lain, Khalid mengesahkan terdapat cubaan menculik seorang ahli perniagaan warganegara Iran baru-baru ini di ibu negara, dan beberapa suspek kes itu telah diberkas.

“Kita ada terima laporan itu dan telah menangkap beberapa orang yang disyaki terlibat,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai kes itu. — Bernama