Rakyat Sarawak digesa mendaftar di bawah Program Rumah PR1MA

0

KUCHING: Rakyat negeri ini terutama yang berpendapatan pertengahan digesa mendaftar di bawah Program Rumah PR1MA yang sedang giat dibangunkan di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Datuk Abdul Mutalib Alias berkata tahap pendaftaran bagi Rumah PR1MA di negeri ini agak rendah berbanding negeri lain di Semenanjung Malaysia.

“Ramai daripada kalangan rakyat masih belum memahami dan mempunyai persepsi yang berlainan mengenai Program Rumah PR1MA.

“Seperti yang sering saya tekankan, PR1MA ditubuhkan di bawah Akta PR1MA 2012 dan merupakan satu-satunya pihak berkuasa yang diamanahkan untuk membangun, mengurus dan menyelenggara taman perumahan PR1MA yang dibina untuk penghuninya.

“Di bawah Agenda Perumahan Negara, PR1MA telah diberi mandat untuk membina 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara dalam tempoh lima tahun hingga 2018,” katanya.

Mutalib berkata demikian pada taklimat bersama wakil media dari Sarawak dan Sabah sempena Ekspo Rumah PR1MA 2015 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 27 hingga 29 November lepas.

Tambah Mutalib, Program Rumah PR1MA diperkenalkan bagi membantu golongan berpendapatan pertengahan antara RM2,500 hingga RM10,000 sebulan memiliki kediaman sendiri.

Ini bermakna rumah yang dibangunkan oleh PR1MA dijual pada purata harga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran terbuka tetapi dengan kualiti yang sama.

“PR1MA bukan membangunkan rumah kos rendah. Kami membangunkan rumah yang sama kualitinya dengan rumah-rumah di pasaran terbuka tetapi dijual pada harga 20 peratus lebih rendah.

“Rumah-rumah kos rendah akan terus dibangunkan oleh kerajaan tetapi kita di PR1MA membantu golongan yang berpendapatan pertengahan,” katanya.

Dalam pada itu, hanya tiga langkah mudah untuk memiliki kediaman PR1MA dengan mendaftar secara percuma di www.pr1ma.my.

Syarat kelayakan anda mestilah warganegara Malaysia, bujang atau berkahwin serta berumur 21 tahun dan ke atas, pendapatan bulanan isi rumah individu atau keluarga (suami dan isteri) antara RM2,500 hingga RM10,000 serta tidak memiliki lebih daripada satu hartanah bagi individu atau keluarga.

Tidak hanya menawarkan harga 20 peratus lebih murah daripada pasaran, PR1MA turut menawarkan Program Bantuan Pembeli Rumah PR1MA sehingga 110 peratus tanpa bayaran pendahuluan.

Sehingga 11 November 2015, sebanyak 227,776 unit rumah PR1MA telah diluluskan oleh Ahli Perbadanan PR1MA (MOC) dengan 14, 039 unit adalah di Sarawak.

Kesemua 14,039 unit rumah ini melibatkan sembilan projek di Vista Tunku, Matang, Petra Jaya, Miri, Matang Sungai Tengah, Sibu, Petra Jaya 2, Sungai Plan dan Semenggoh.

Tiga projek iaitu Vista Tunku melibatkan 1,877 unit apartmen, Matang (1,360 unit apartmen) dan Sibu (1,096 unit teres) kini dalam kerja-kerja tanah.