Rebut peluang kursus jangka pendek: Juslie

0

SANDAKAN: Rakyat perlu rebut peluang kursus jangka pendek yang ditawarkan di Kolej Komuniti untuk meningkatkan ilmu serta ekonomi setempat.

Ahli Parlimen Libaran Datuk Juslie Ajirol berkata, tawaran kursus jangka pendek daripada pelbagai bidang ditawarkan perlu dimanfaatkan oleh penduduk setempat agar dapat memajukan diri.

“Kolej Komuniti ini menawarkan kursus jangka pendek berdasarkan permintaan komuniti setempat yang bertujuan memberi pengetahuan dalam bidang kursus dijalankan,” katanya.

Beliau yakin kursus jangka pendek dapat memberi peluang besar kepada para peserta khususnya untuk lebih berdaya saing menghasilkan produk yang lebih kreatif dan inovatif setaraf dengan usahawan yang ada.

“Kursus seumpama ini juga mendidik peserta khususnya pelajar Kolej Komuniti untuk sentiasa bergerak ke hadapan, berpandangan jauh dan berinovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Mini Karnival Kursus Pendek dan Keusahawanan di Kolej Komuniti Sandakan, petang kelmarin.

Juslie yang juga pengerusi Jawatankuada Penasihat Kolej Komuniti Sandakan memberitahu, kerajaan sentiasa menyediakan pelbagai peluang kepada rakyat untuk menambah ilmu dan pengetahuan di samping menambah pendapatan melalui ilmu yang diperolehi.

“Bagi mereka yang mempunyai kemahiran menghasilkan produk perniagaan, perlu tingkatkan kualiti produk mereka agar dapat bersaing secara global.

“Apabila produk kita mampu bersaing di peringkat global sudah pasti sasaran ekonomi kita meningkat. Kita juga perlu menggunakan teknologi maklumat dalam mengembangkan produk perniagaan kita tanpa menumpukan pada satu kawasan sahaja,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Kolej Komuniti Sandakan Jominin Goropos, Ketua Jabatan Kolej Komuniti Sandakan Samsur Nongkang dan tetamu kehormat yang lain.