SKMM tidak boleh sekat aplikasi perkhidmatan teksi dalam talian

0

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tidak boleh menyekat aplikasi perkhidmatan teksi dalam talian kerana ia tidak melanggar undang-undang perkhidmatan komunikasi sedia ada.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata justeru pihaknya tidak boleh mengambil tindakan terhadap pemandu teksi perkhidmatan tersebut kerana ia bukan di bawah tanggungjawab kementerian itu.

“Kita tiada masalah dalam perkhidmatan aplikasi dalam talian. Kita memang menggalakkan. Cuma masalah yang kami dapat ialah isu pemandu teksi yang tiada lesen.

“Ini isu antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan pemandu, tiada kena-mengena dengan kami melainkan pihak tersebut (SPAD) minta kita sekat nombor tersebut.

“Tapi atas dasar apa kita nak batalkan? Kita ada perjanjian antara telco (syarikat komunikasi) dengan pelanggan. Kalau mereka suruh kita batal, mesti ada sebab…buatnya pengguna saman kita sebab kita suka hati batal?” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Dewan Rakyat semalam.

Jailani menjelaskan, sehingga kini, SPAD belum meminta SKMM untuk menyekat mana-mana perkhidmatan teksi dalam talian.

Ketika sesi penggulungan tersebut, beberapa anggota Parlimen meminta penjelasan kementerian berhubung perkhidmatan teksi dalam talian yang kononnya salah di sisi undang-undang dan mengganggu periuk nasi pemandu teksi sedia ada.

Ketika menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh) berkaitan isu penggodam laman sosial, Jailani memaklumkan notis sekatan terhadap sembilan laman web dalam dan luar negara yang menjalankan aktiviti Twitter palsu telah dikeluarkan.

“Setelah diperiksa, laman web itu boleh menyalah guna akaun Twitter milik seseorang dengan menulis tweet palsu walaupun bukan kehendak pemilik akaun. Oleh itu, notis sekatan telah dikeluarkan kepada pihak penyedia perkhidmatan Internet untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kok sebelum itu mendakwa ada pihak telah menggunakan akaunnya untuk menulis dan memuat naik tweet di laman Twitter miliknya dengan menyentuh pelbagai isu sensitif termasuk berkaitan agama. — Bernama

Menjawab soalan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) mengenai caj RM5 untuk mencetak bil Telekom Malaysia (TM), Jailani memaklumkan bahawa perkara tersebut belum dilaksanakan ketika ini dan hanya bermula Januari tahun depan.

“Pelaksanaan caj ini untuk menggalakkan pelanggan menggunakan pengebilan secara talian yang disediakan secara pengguna. Pelaksanaan ini hanya bagi pelanggan yang mempunyai perkhidmatan Internet jalur lebar seperti Streamyx dan Unifi sahaja.

“Bagi pelanggan TM yang melanggan perkhidmatan telefon sahaja, mereka akan terus mendapat bil bercetak seperti biasa,” katanya yang turut percaya langkah itu untuk memperkenalkan e-billing yang akan memudahkan pengguna selain mesra alam.

Beliau menambah, sehingga kini, lebih 180,000 pelanggan TM telah mendaftar dan menikmati kemudahan pengebilan dalam talian. — Bernama