Suami isteri ditangkap disyaki miliki pil kuda bernilai RM27,500

0
DIRAMPAS: Mit Emong (dua kanan) bersama pegawai menunjukkan dadah jenis pil kuda yang dirampas ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan semalam. — Gambar Bernama

DIRAMPAS: Mit Emong (dua kanan) bersama pegawai menunjukkan dadah jenis pil kuda yang dirampas ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan semalam. — Gambar Bernama

KOTA BAHARU: Polis manahan seorang lelaki dan isterinya serta merampas 1,100 butir pil kuda (methamphetamine) bernilai RM27,500 di sebuah rumah di Kampung Kijang, Badang di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Supt Mit A/L Emong berkata sepasang suami isteri yang berumur 38 dan 29 tahun ditahan hasil maklumat awam dan risikan pada jam 2.30 petang semalam.

“Hasil pemeriksaan ke atas rumah itu, kami menjumpai enam bungkusan kertas akhbar yang mengandungi pil-pil yang disyaki dadah di dua tempat berlainan iaitu tiga bungkusan yang mengandungi 506 biji dadah jenis pil kuda di atas almari di ruang tamu rumah berkenaan.

“Manakala tiga lagi bungkusan kertas akhbar yang mengandungi 594 biji dadah jenis sama disimpan dalam ruang tempat menyimpan barangan di bawah tempat duduk motosikal jenis Suzuki di garaj hadapan rumah berkenaan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, semalam.

Mit berkata dadah itu di syaki diperoleh dari negara jiran untuk diedarkan di sekitar daerah Kota Baharu.

“Dengan tertangkapnya pasangan suami isteri ini, siasatan awal kami mendapati suspek (suami) bergiat aktif dalam pengedaran dadah di sekitar kawasan ini berdasarkan dua rekod lampau yang dimilikinya manakala isterinya tiada rekod lampau,” katanya.

Kedua-dua suspek kini di reman selama tujuh hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita masih memburu saki-baki kumpulan ini yang bergiat aktif melakukan pengedaran dadah di sekitar Kota Baharu,” kata Mit lagi. — Bernama