Agensi kerajaan sedia kerjasama dengan UNIMAS jalankan R&D di TPA

0

KUCHING: Agensi-agensi kerajaan negeri sedia menjalinkan kerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) di negeri ini.

Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh berkata kerja sama itu penting kerana TPA di Sarawak iaitu 44 kesemuanya amat kaya dengan biodiversiti serta spesies yang boleh dikomersialkan namun kekurangan pakar ekologi dan taksonomi menyebabkan usaha itu tidak dapat dilakukan.

Menurutnya, di dalam TPA tersebut, terdapat peluang besar untuk ahli taksonomi dan ekologi menerokai dan memperhebatkan kerja-kerja penyelidikan bagi menghasilkan senarai serta pengiraan spesies.

“Ia juga akan mengenal pasti status pemeliharaan dan pengagihan spesies-spesies asal atau penemuan spesies baharu di dalam kawasan kajian. Pengetahuan asas ini sangat penting serta berguna untuk pemeliharaan, penerokaan, potensi digunakan, inovasi dan pengkomersialan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Ekologi dan Taksonomi Wilayah (TEC) 2015 anjuran Falkulti Sains dan Teknologi Sumber, UNIMAS di sini semalam.

Justeru Talib mahu jalinan kerjasama baik antara UNIMAS dan Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) taksonomi dan ekologi di TPA di negeri ini.

Beliau menambah penyelidikan ke atas sumber-sumber biologi atau tumbuhan baharu sebagai sumber makanan populasi dunia amnya amat penting.

Oleh itu, pemahaman meluas mengenai strategi-strategi pengurusan dan pemantauan sumber asli juga seharusnya diberi penekanan seterusnya dilaksanakan bagi tujuan pemeliharaan, pengeluaran lestari dan tarikan ekopelancongan.

Sehungan itu, Len Talif yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) berharap persidangan selama dua hari itu akan menyediakan platform terbaik kepada pakar taksonomi dan ekologi tempatan serta luar negara berkongsi pengalaman seterusnya menjalinkan kerjasama erat dalam R&D.

“Saya juga berharap semua pihak memainkan peranan penting dan menyumbang kepada ekosistem mapan dan hijau untuk kebaikan semua bentuk kehidupan,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor UNIMAS Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata penganjuran TEC 2015 akan memboleh para peserta memperkukuh dan menyumbang kepada pemeliharaan biodiversiti tropika.

“UNIMAS sentiasa menggalakkan dan menyokong kuat usaha semua pihak kerana antara bidang penting universiti (ini) ialah Pemeliharaan Alam Sekitar dan Biodiversiti,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai persidangan itu Kadim berkata ia juga membolehkan pakar taksonomi, ekologi, pembuat dasar dan pihak berkepentingan tetapi membincangkan kaedah dan peralatan terkini untuk membangunkan ekosistem serta ekologi lestari.

“Peralatan canggih yang ada sekarang membolehkan munculnya pendekatan-pendekatan bioteknologi seperti kajian molekul DNA dan rangkaian genetik, membantu penyelidik menemui rahsia, hubungan dan eksplotasi sama ada di peringkat spesies atau kategori taksonomi lebih tinggi,” ujarnya.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Mohd Fadzil Abdul Rahman, Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber Prof Madya Dr Othman Bojo dan Pengerusi TEC 2015 Prof Dr Ismail Jusoh.