Beberapa kawasan rendah Bintulu dilanda banjir

0
MELIMPAH KELUAR: Air melimpah masuk ke sistem perparitan mengakibatkan banjir kilat di Jade Garden semalam.

MELIMPAH KELUAR: Air melimpah masuk ke sistem perparitan mengakibatkan banjir kilat di Jade Garden semalam.

BANTU: Anggota JPAM Bintulu ke kawasan Sungai Sebatang menghulurkan bantuan memindahkan mangsa banjir sekitar jam 1 pagi semalam.

BANTU: Anggota JPAM Bintulu ke kawasan Sungai Sebatang menghulurkan bantuan memindahkan mangsa banjir sekitar jam 1 pagi semalam.

Meskipun surut, mangsa dipindah ke pusat pemindahan Dewan Suarah untuk memudahkan bantuan

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

BINTULU: Beberapa kawasan rendah di sini dilanda banjir kilat selepas hujan lebat turun tanpa henti pada petang sehingga malam kelmarin.

Kawasan dilanda banjir meliputi Sungai Plan, Sungai Sebatang di Tanjung Kidurong, Batu 5 Sebiew, Taman Beverly Hills, Kampung Penan Muslim Batu 10, Jade Garden, Taman Putrajaya, Kampung Assyakirin, Kampung Kemunting dan Taman Jasmine Fasa 2.

Berikutan cuaca tidak menentu meskipun banjir dilaporkan surut, mangsa terjejas dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Suarah semalam bagi memudahkan pihak berkuasa menyalurkan bantuan dan keselamatan mangsa.

Residen Bahagian Bintulu, Muhamad Yakup Kari berkata, lima kawasan terjejas akibat banjir dan pasukan penyelamat bergegas ke tempat terbabit di Sungai Sebatang, di sini sekitar jam 1 pagi semalam.

“Pasukan penyelamat menguruskan pemindahan seramai 90 mangsa daripada 22 keluarga kawasan itu ke pusat pemindahan di Dewan Suarah di sini,” katanya.

Menurutnya, sekitar jam 8 pagi semalam paras air dilaporkan surut dan sekitar jam 1 petang, mangsa di pusat pemindahan minta kembali ke rumah masing-masing.

Jelasnya, kebanyakan kawasan terjejas berikutan sistem perparitan tidak sistematik dan sebahagian berdekatan masih dalam pembangunan beberapa projek.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak, Siti Huzaimah Ibrahim berkata seramai 90 mangsa melibatkan 22 keluarga terjejas dari Sungai Sebatang dipindahkan ke Dewan Suarah merangkumi 29 lelaki dewasa, 30 wanita dewasa, 11 kanak-kanak lelaki, 12 kanak-kanak wanita, tiga bayi lelaki dan seorang bayi wanita.

Katanya, kawasan turut terjejas Batu 5 Sebiew melibatkan 25 mangsa dari lapan keluarga terdiri lapan lelaki dewasa, empat wanita dewasa, enam kanak-kanak lelaki, empat kanak-kanak wanita dan tiga bayi lelaki turut dipindahkan ke pusat pemindahan.

Jelasnya, pusat pemindahan di Dewan Suarah dibuka jam 5 pagi semalam dan keseluruhan mangsa serta keluarga terjejas seramai 115 mangsa dari 30 buah keluarga.

Beliau berkata, bekalan makanan dihantar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bintulu ke pusat pemindahan.

“Agensi-agensi lain di pusat pemindahan ialah JPAM, JKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Kesihatan Bintulu,” katanya dalam laporan diterima daripada Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bintulu, Lt M (PA) Zuriza Sharkawi semalam.

Dalam pada itu, seorang penduduk Kampung Assyakirin memberitahu keadaan banjir kilat melanda kampung itu, Fasa 1 dan 2 hanya sekejap sahaja dan kini keadaan paras air sudah surut.