‘Keganasan persepsi’ perlu ditangani secara berhemah

0
RAMAH MESRA: Salleh (dua kanan) bersama anggota panel selepas menutup Forum Keganasan Persepsi: Komunikasi Digital dan Keselamatan Negara di INTEKMA Resort and Convention Centre di Shah Alam, semalam. Turut hadir Pengarah Bahagian Strategik Pejabat Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail (kanan). — Gambar Bernama

RAMAH MESRA: Salleh (dua kanan) bersama anggota panel selepas menutup Forum Keganasan Persepsi: Komunikasi Digital dan Keselamatan Negara di INTEKMA Resort and Convention Centre di Shah Alam, semalam. Turut hadir Pengarah Bahagian Strategik Pejabat Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail (kanan). — Gambar Bernama

Elakkan pemikiran negatif dan budaya ekstremisme

SHAH ALAM: ‘Keganasan persepsi’ menerusi media baharu merupakan suatu bentuk ancaman terkini kepada keselamatan negara serta masyarakat yang perlu ditangani secara strategik dan berhemah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata sesetengah pihak tidak bertanggungjawab menjadikan media baharu sebagai medan untuk memanipulasi maklumat serta melemparkan tuduhan tidak berasas terutamanya kepada pemimpin negara.

“Persepsi yang dimanipulasi ini boleh mencetuskan kekeliruan dan kekacauan. Lantas, ia akan mengakibatkan pembentukan keganasan persepsi melalui corak pemikiran yang negatif dan budaya ekstremisme sekiranya isu ini tidak ditangani secara strategik dan berhemah.

“Sebagai contoh, Islamic State (IS) menerusi penggunaan media baharu ini telah membentuk konsepnya tersendiri yang mempengaruhi cara pemikiran untuk bertindak ekstrem.

“Mereka yang terpikat dengan ideologi IS ini terdedah dengan keganasan persepsi yang berbaur emosi dan mengandungi sentimen kebencian,” katanya ketika berucap menutup Forum Keganasan Persepsi: Komunikasi Digital dan Keselamatan Negara di sini semalam.

Forum berkenaan anjuran Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi (PPPMI), Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Antara anggota panel yang hadir adalah Pengarah Bahagian Strategik Pejabat Perdana Menteri Datuk Shahlan Ismail; Pengarah PPPMI, FKPM, UiTM, Prof Madya Dr Abd Rasid Abd Rahman dan Pengurus Besar Kanan, Pusat Penyiaran Digital TV Al-Hijrah, Zainal Rashid Ahmad.

Salleh menarik perhatian bahawa keganasan persepsi secara umumnya merujuk kepada pembabitan masyarakat dan golongan tertentu melalui saluran komunikasi seperti di media sosial dan aplikasi telefon pintar yang mengandungi unsur provokasi, emosi, serta sentimen keterlaluan yang mendorong kepada persekitaran negatif di dalam saluran tersebut.

Menurutnya, penggunaan saluran komunikasi yang sukar dikawal ini berlaku secara tidak sekata dan keadaan yang berterusan ini boleh mencemarkan imej masyarakat, kerajaan yang memerintah serta negara.

Beliau dalam pada itu berkata, isu ‘keganasan persepsi’ di Malaysia dapat dikurangkan sehingga ke tahap minimum sekiranya masyarakat tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Salleh menasihatkan media supaya lebih berwaspada dan berhati-hati dalam melaporkan isu-isu yang mempunyai kepentingan negara selain sentiasa memastikan kesahihan sesuatu fakta berita.

“Kita di Malaysia kadang-kadang tengok ada budaya viralism. Sepatutnya ini tidak berlaku. Kena tapis dulu apakah betul maklumat tersebut, sama ada akan menjejaskan keselamatan negara,” katanya.

Ketika ditanya pendapat yang disuarakan dalam forum itu mengenai kesan keganasan persepsi terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14, Salleh berkata beliau yakin perkara itu tidak akan menjejaskan kredibiliti serta keputusan rakyat untuk terus memilih Barisan Nasional (BN) menerajui tampuk pimpinan negara.

“Pada saya yang penting pada pilihan raya umum akan datang adalah suatu persaingan politik…dan saya yakin rakyat akan terus bersama BN kerana kita terbukti sebuah parti yang mampu beri khidmat terbaik kepada rakyat Malaysia,” katanya. — Bernama