Konduktor bas ‘dihantui’ rakan bengis

0
MENGADU: Seorang konduktor bas mengadu kepada Sarjan/Detektif Manogaran mengenai insiden malang tersebut.

MENGADU: Seorang konduktor bas mengadu kepada Sarjan/Detektif Manogaran mengenai insiden malang tersebut.

Seorang bengkak ditumbuk, konduktor bas wanita lain dakwa juga pernah dipukul

Oleh Michael Ubam //

SIBU: Seorang konduktor bas, 47, mengalami bengkak di dahi selepas dihayun penumbuk seorang rakan sekerja lelaki tanpa sebab pagi semalam.

Insiden itu berlaku sekitar jam 7 pagi semasa bas dinaiki mangsa dalam perjalanan ke Selangau dari Sibu.

Semasa bas tersebut tiba di Batu 9, Jalan Oya di sini seorang lelaki bekerja sebagai pemeriksa tiket bas, 54, naik ke dalam bas tersebut.

Mangsa kemudian memberi borang pemeriksaan tiket kepada lelaki terbabit untuk disemak namun lelaki itu bertindak memukul muka mangsa dengan borang tersebut.

Mangsa mendakwa lelaki tersebut juga bertindak menumbuk dahi dan mukanya dengan tangan dan terus menyerang mangsa.

Nasib baik mangsa dapat mengelak diri daripada mengalami kecederaan lebih teruk.

Menurut mangsa, beberapa konduktor bas wanita lain juga pernah dipukul pemeriksa tiket itu yang sering bersikap bengis terhadap pekerja syarikat bas tersebut.

“Saya bekerja sebagai konduktor bas syarikat bas ini selama 25 tahun, tetapi kehadiran lelaki tersebut sejak tiga tahun lalu menyebabkan kami tidak selesa,” jelasnya.

Katanya, pemeriksa tiket bas itu bukan sahaja panas baran tetapi langsung tidak menghormati pekerja wanita.

“Apabila dia ‘naik hantu’, kami menjadi tempatnya untuk melepaskan geram,” katanya.

Lelaki tersebut dimasukkan dalam lokap di Balai Polis Sentral di sini untuk tindakan lanjut.