Persiapan hadapi SUKMA XVIII

0
BERSEDIA: Lee (empat kanan) bersama Dr Ong (empat kiri), pengurus dan jurulatih persatuan sukan yang terlibat dengan SUKMA 2016 di Kuching semalam.

BERSEDIA: Lee (empat kanan) bersama Dr Ong (empat kiri), pengurus dan jurulatih persatuan sukan yang terlibat dengan SUKMA 2016 di Kuching semalam.

Semua atlet Sarawak akan menjalani latihan berpusat semasa cuti persekolahan

Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin memberitahu semua atlet Sarawak yang terlibat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII akan menjalani latihan berpusat semasa cuti persekolahan.

Menurutnya, kontinjen negeri juga akan memanggil pulang semua atlet termasuk yang belajar di luar Sarawak untuk memulakan latihan berpusat dalam waktu terdekat.

“Tiada cuti sekolah untuk atlet-atlet yang terlibat kerana kita akan menggunakan musim cuti persekolahan bagi menjalani latihan berpusat,” katanya pada sidang media persiapan SUKMA XVIII di sini semalam.

Menurut Lee, langkah itu perlu kerana masa kian suntuk untuk atlet-atlet kita memantapkan persiapan mereka menghadapi temasya sukan yang hanya tinggal kira-kira tujuh bulan untuk bermula.

Katanya, tumpuan latihan diberikan terhadap atlet yang berpotensi untuk menyumbang pingat.

Lee juga menggesa semua persatuan sukan yang terlibat dengan SUKMA 2016 agar menyuarakan masalah yang mereka hadapi dengan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) secepat mungkin.

“Jika ada masalah, suarakan sekarang.

Jangan menunggu sehingga SUKMA bermula.

Kita tidak mahu mendengar sebarang alasan jika keputusan diperolehi kurang baik,” tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata MSNS telah menubuhkan Jawatankuas a Teknikal bagi memantau prestasi semasa atlet-atlet sehingga SUKMA bermula.

Jelasnya, jawatankuasa yang diketuai oleh Pengarah MSNS, Dr Ong Kong Swee itu akan memantau latihan dengan fokus tertumpu terhadap memantapkan sukan yang kurang menyerlah.

Mengenai persiapan menghadapi SUKMA 2016, Lee berkata setakat ini MSNS telah melantik seramai 10 jurulatih asing sambil dibantu seramai 22 jurulatih tempatan bagi melatih beberapa acara sukan.

Katanya, jumlah jurulatih asing itu akan ditambah bergantung kepada keperluan persatuan.

Dalam perkembangan sama, Lee yakin semua fasiliti sukan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan sebelum SUKMA XVIII bermula.

“Kita yakin semua fasiliti dapat disiapkan sebelum SUKMA bermula bagi membolehkan atlet menjalani latihan,” katanya.

Sarawak mensasarkan 72 pingat emas pada SUKMA XVIII yang akan berlangsung dari 22 hingga 31 Julai 2016.