Sarawak akan wujud institut R&D semua bidang

0
LEN TALIF

LEN TALIF

Kerajaan mahu membawa negeri ke tahap lebih tinggi dan melahirkan lebih ramai pakar penyelidikan

Oleh Patricia Gari //

KUCHING: Sarawak akan mewujudkan sebuah institut penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang merangkumi penyelidikan serta pembangunan semua bidang.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh berkata, ia merupakan pendekatan kerajaan negeri untuk memastikan sektor R&D di Sarawak dapat dipertingkatkan kepada tahap lebih tinggi.

Selain itu, katanya, penubuhan institut itu antara usaha menarik minat generasi muda melibatkan diri dalam R&D terutama membabitkan bidang taksonomi dan ekologi.

Menurut beliau, jumlah pakar penyelidikan dalam taksonomi, ekologi, patalogi dan botanikal sangat sedikit dan keadaan itu membimbangkan kerana pakar sedia ada ramai yang sudah berusia.

“Inilah pendekatan yang mungkin kerajaan negeri dapat ambil untuk memastikan R&D di Sarawak dapat dibawa ke satu tahap lebih tinggi lagi jika dibandingkan sekarang.

“Ketika ini, setiap agensi negeri mempunyai unit atau jabatan R&D sendiri, namun penyelidikan yang tidak dilakukan dengan mendalam, lebih kepada asas menyebabkan hasilnya tidak kekal lama,” ujarnya pada satu sidang media semalam.

Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan Ekologi dan Taksonomi 2015 (TEC 2015) anjuran Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Univeristi Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, semalam.

Len Talif yang juga Menteri Muda Alam Sekitar berkata, dengan penubuhan institut itu nanti, R&D di Sarawak akan berada di bawah sebuah organisasi khusus.

Beliau memberitahu, ketika ini kertas kerja bagi tujuan itu sedang dibuat dengan menjadikan Organisasi Penyelidikan Industri dan Saintifik Komenwel (CSIRO) di Australia sebagai contoh.

Tambahnya, Sarawak memerlukan sebuah organisasi yang mempunyai autonomi khas melakukan penyelidikan dan mesti mempuyai skim perkhidmatan berbeza.

“Mempunyai kuasa autonomi penyelidikan sangat penting, ia tidak boleh mengarah atau memfokus kepada bidang-bidang tertentu kerana ia melibatkan minat mendalam dalam kalangan penyelidik kedua kepakaran,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun memberitahu maklumat terperinci mengenai kertas kerja itu tidak boleh didedahkan sekarang memandangkan ia masih di peringkat rundingan.

Beliau memberitahu, rundingan akan melibatkan agensi-agensi kerajaan negeri seperti Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Sarawak Forestry Corporation (SFC), Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Jabatan Pertanian dan agensi-agensi berkaitan lain.

Namun yang pasti, ujarnya, Sarawak berusaha mempunyai struktur R&D yang betul meliputi semua bidang termasuk penyelidikan bangunan.

“Kita tidak menetapkan kerangka masa untuk menyiapkan kertas kerja ini kerana ia mesti dilakukan dengan teliti dan mengambil kira pelbagai aspek selain perlu dibincangkan di peringkat kabinet (negeri),” katanya.

Ditanya punca ramai generasi muda kurang berminat melakukan penyelidikan khasnya berkaitan alam semula jadi, tumbuhan dan haiwan Len Talif berkata ia mungkin disebabkan faktor insentif namun minat juga sama penting.

Justeru, ujarnya, minat terhadap alam semula jadi, flora dan fauna harus disemai dalam kalangan generasi muda di peringkat bangku sekolah lagi.

“Di United Kingdom dan Eropah ramai penyelidik muda yang melakukan penyelidikan mendalam mengenai alam semula jadi dan haiwan bukan kerana insentif yang tinggi tetapi kerana minat mereka sangat mendalam menerokai rahsia alam,” katanya.

Hadir sama Naib Canselor UNIMAS Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Saudi, Pengerusi TEC 2015 Prof Dr Ismail Jusoh dan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber Prof Madya Dr Othman Bojo.