Pendakian guna laluan baharu berjaya

0

135 pendaki tiba di puncak Gunung Kinabalu selepas ditutup akibat gempa bumi Jun lalu

KUNDASANG: Pendakian percubaan ke puncak Gunung Kinabalu menggunakan laluan baharu berjaya dilaksanakan apabila kesemua 135 pendaki, termasuk 55 pendaki warga asing, berjaya sampai ke puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara itu kira-kira jam 7.45 pagi.

Pendakian yang turut disertai oleh pendaki solo Gunung Everest negara Ravi Chandran merupakan kumpulan pendaki pertama ke puncak Gunung Kinabalu selepas aktiviti pendakian ke puncak gunung itu ditutup susulan gempa bumi berskala 5.9 pada Skala Richter melanda Ranau pada 5 Jun lepas.

Antara 20 wakil media yang turut menjayakan pendakian percubaan berkenaan dan berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095.2 meter,  ialah wartawan Bernama Kota Kinabalu, Noorazlina Jindeh.

“Kami memulakan pendakian ke puncak kira-kira jam 2.30 pagi tadi (semalam) dari Panalaban (dahulunya dikenali sebagai Panar Laban). Jarak dari Panalaban ke ialah 2.7 kilometer. Kumpulan pendaki terawal tiba di puncak pada jam 6.10 pagi manakala yang terakhir sekali pada jam 7.45 pagi,” kata Noorazlina kepada Bernama melalui aplikasi WhatsApp dari puncak Gunung Kinabalu.

“Jalan (laluan) baharu agak mencabar. Banyak (anak) tangga, namun ada zon yang memerlukan pendaki bergerak pantas,” kata Noorazlina.

Kumpulan pendaki berkenaan memulakan pendakian melalui Pintu Timpohon kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin dan dilepaskan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Laluan baharu ke puncak Gunung Kinabalu berkenaan diwujudkan selepas laluan lama rosak dan tidak selamat digunakan susulan gempa bumi pada Jun lepas.

Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM400,000 untuk menyediakan laluan baharu itu bagi memastikan keselamatan pendaki sentiasa terjamin. — Bernama