Perpaduan rakyat penentu hala tuju pembangunan negara

0

LAHAD DATU: Perpaduan yang kukuh dan kepercayaan dalam kalangan rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum merupakan kunci utama untuk menentukan hala tuju pembangunan negara.

Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu Datuk Mohd Yusof Apdal sewaktu merasmikan Malam Apresiasi Khas Rukun Tetangga (RT) Daerah Lahad Datu 2015, di Dewan Perdana di sini kelmarin.

Katanya, kerajaan sentiasa menekan unsur perpaduan jitu rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum dalam merangka setiap dasar yang dilaksanakan sama ada dalam bidang ekonomi, sosial mahupun politik.

Menurut beliau, sejak merdeka hingga ke saat ini, kerajaan juga telah membuat banyak dasar demi memastikan rakyat di negara ini dapat menikmati pelbagai manfaat.

“Kerajaan sentiasa mengamalkan pelbagai langkah untuk memastikan nilai dan semangat perpaduan komuniti dapat terus dipelihara tanpa diganggu-gugat oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menimbulkan suasana tidak tenteram dalam negara.

“Atas kesedaran inilah maka aspek perpaduan diangkat sebagai agenda utama dalam usaha merealisasikan negara bangsa yang membangun dan maju dalam pelbagai bidang serta mempunyai identitinya sendiri,” katanya.

Yusof yang juga Ketua UMNO Bahagian Silam berkata, tunjang kejayaan Malaysia pada hari ini dapat dilihat menerusi masyarakat majmuk di negara ini yang hidup saling hormat-menghormati meskipun berbeza agama dan budaya.

“Sehubungan itu, saya percaya warga Rukun Tetangga yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum ini mempunyai amanah sebagai pewaris sewajarnya meneruskan perjuangan untuk memupuk dan menyuburkan lagi perpaduan nasional yang dibina.

“Mereka yang menyertai Rukun Tetangga melakukannya atas rasa tanggungjawab tinggi terhadap keamanan dan cintakan negara. Dan, tanggungjawab ini amat besar dalam memastikan kemakmuran tanah air kita terus berkekalan dan terpelihara khususnya untuk generasi akan datang.

“Saya percaya dengan pelbagai program dan usaha berterusan yang digerakkan oleh jabatan ini bersama-sama KRT dan komuniti di peringkat akar umbi, kepelbagaian kaum dan budaya yang menjadi asas perpaduan dan keharmonian rakyat akan dapat terus diperkukuhkan,“ katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sabah Delin Liet Blaun berkata, Malam Apresiasi RT itu merupakan pengiktirafan terhadap warga RT sama ada di peringkat KRT daerah mahupun negeri yang memberikan komitmen dan sumbangan cemerlang dalam pelaksanaan aktiviti perpaduan dan program kemasyarakatan di peringkat akar umbi.

“Objektif majlis ini juga adalah untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara AJK RT yang terdapat di daerah Lahad Datu selain menjalin hubungan erat bersama para pegawai JPNIN yang turut hadir pada malam ini,” katanya.

Dalam pada itu, Yusof turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 bagi tujuan membekalkan baju korporat kepada seluruh anggota KRT di kawasan Lahad Datu.

Majlis turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Lahad Datu Iman Ali, Komander ESSCom Dato’ Abd Rashid, pegawai-pegawai JPNIN, pengerusi KRT, kawasan dan AJK RT daerah.