Wanita maut dalam kemalangan jalan raya

0

LABUAN: Seorang wanita berumur 21 tahun maut di tempat kejadian setelah motosikal jenis Suzuki yang ditunggangnya terbabas ke tepi jalan sebelum merempuh pokok kayu dalam satu kemalangan yang berlaku pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintenden Adzhar Othman kelmarin berkata, mangsa dikenali sebagai Nur Syafiqah Nurdiah @Amat dan beralamat di Taman Sujin Sungai Bangat.

“Dalam kejadian sekitar jam 12.05 tengah hari itu di Jalan Tanjung Purun berhampiran dengan stesen minyak Shell, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah bandar menuju ke Mawilla II.

“Dalam perjalanan, mangsa telah hilang kawalan sebelum terbabas lalu meninggal dunia akibat pendarahan dalaman bahagian kepala,” katanya dan menjelaskan keadaan cuaca pada waktu itu baik, keadaan jalan raya juga baik serta keadaan lalu lintas yang lengang.

Pada masa yang sama, motosikal terbabit turut dibonceng oleh seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai Mat Zin Matusin, 32, yang hanya mengalami kecederaan ringan pada leher dan luka di bahagian tangan.

Motosikal berkenaan remuk pada bahagian hadapan dan sisi kanan.

Sementara itu, mayat mangsa telah dibedah siasat di Hospital Labuan pada Selasa lalu.

Sampel darah mangsa juga telah diambil untuk dianalisis di Jabatan Kimia dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.