Pelaburan Sarawak meningkat 20 peratus

0
TAKLIMAT: Ahmad Maslan ketika sesi taklimat bersama MITI Wilayah Sarawak dan agensi di bawah MITI. Turut kelihatan Griffiths Jone Joba (kiri).

TAKLIMAT: Ahmad Maslan ketika sesi taklimat bersama MITI Wilayah Sarawak dan agensi di bawah MITI. Turut kelihatan Griffiths Jone Joba (kiri).

KUCHING: Prestasi pelaburan Sarawak berjaya mencatatkan peningkatan lebih 20 peratus kepada RM11.76 bilion seperti direkod sejak Januari hingga September tahun ini.Statistik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menunjukkan berlaku peningkatan pelaburan sebanyak RM2.12 bilion berbanding RM9.64 bilion pada 2014.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Maslan berkata trend kenaikan melibatkan pelaburan dalam dan luar negara.

“Pelaburan modal di negeri bertambah daripada jumlah tersebut sebanyak RM11.151 bilion adalah pelabur domestik manakala RM608.5 juta lagi pelabur asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada media selepas mengadakan lawatan kerja di Pejabat MITI Wilayah Sarawak di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah MITI Sarawak, Griffiths Jone Joba dan pengarah-pengarah agensi di bawah MITI.

Menurutnya Sarawak merupakan pusat pelaburan baik dalam Malaysia dan mampu menarik minat pelabur menjalankan projek khusus perindustrian di negeri ini.

“Iklim pelaburan di sini (Sarawak) baik untuk pelabur dari dalam dan luar negara. Kita berharap agar ia akan berterusan sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” ujarnya.

Beliau mendedahkan setakat September 2015, sebanyak 1,470 pekerjaan telah ditawarkan berbanding 2,522 pekerjaan pada tahun lalu.

Sarawak kini memiliki beberapa lokasi perindustrian termasuk Bintulu, Demak, Kuching, Sibu dan Tanjung Manis berjaya menjalankan 134 projek sejak 2011 yang menghasil produk berasaskan sumber.

Mengulas lanjut, kebanjiran pelabur di Sarawak katanya disebab faktor tarif elektrik ditawar kompetitif selain beberapa insentif kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

“Tawaran insentif khas termasuk harga tanah yang murah serta kos elektrik rendah akan faktor utama yang menarik minat pelabur.

“Selain itu, kerajaan persekutuan turut menawar potongan cukai kepada pelabur menjalankan kegiatan industri di kawasan kurang membangun,” jelas Ahmad.