RM66.82 bilion jadikan S’wak pengekport kedua terbesar negara

0

KUCHING: Nilai eksport negeri Sarawak merekod jumlah RM66.82 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.

Jelasnya, nilai tersebut meletakkan Sarawak pada kedudukan kedua keseluruhan selepas Johor yang mencatat nilai eksport tertinggi negara setakat ini.

“Nilai eksport Sarawak meningkat tujuh peratus kepada RM116.67 bilion berbanding RM108.4 bilion tahun sebelumnya sekali gus menduduki tangga kedua selepas Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Wilayah Sarawak di sini, semalam yang turut dihadiri Pengarah MITI Wilayah Sarawak, Griffiths Jone Goba.

Katanya, eksport utama Sarawak dalam tempoh empat tahun lalu sejak 2011 adalah gas asli, petroleum, kelapa sawit, lada, kayu balak dan produk berasaskan kayu.

Menurut Ahmad, Semenanjung Malaysia merupakan destinasi utama eksport dari Sarawak selain beberapa negara Asia dan ASEAN.

“Destinasi utama eksport ke Semenanjung Malaysia, malah sumber bahan mentah dihasilkan oleh syarikat di sana merupakan barangan eksport dari negeri ini,” jelasnya.

Selain itu, katanya Jepun, Korea Selatan, Taiwan, China dan negara ASEAN kekal sebagai pengimport tetap bahan mentah dari Sarawak yang menyumbang kira-kira 70 peratus nilai eksport dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.