Tiga ditahan, seorang bolos curi durian

0
DITEMUI: Buah durian yang dipercayai cuba dicuri oleh ketiga-tiga suspek yang ditahan.

DITEMUI: Buah durian yang dipercayai cuba dicuri oleh ketiga-tiga suspek yang ditahan.

KUCHING: Tiga lelaki ditahan polis selepas ditangkap kerana mencuri buah durian di sebuah dusun di Jalan Sungai Buah, Santubong, dekat sini, kelmarin.

Difahamkan, ketiga-tiga lelaki berasal dari kawasan Rampangi itu ditahan pemilik dusun durian berkenaan bersama ahli keluarganya ketika membuat pemeriksaan sekitar jam 10 malam.

Pemilik dusun terkejut apabila melihat empat lelaki tidak dikenali berada di dusunnya itu dan kemudian terus menahan mereka.

“Tiga daripada suspek berjaya ditahan manakala seorang berjaya melarikan diri,” kata sumber.

Selain itu, pemilik dusun berusia sekitar 60-an turut menemui kira-kira 20 biji durian di dalam dua guni dipercayai cuba dilari suspek.

Suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis dan turut ditemui ialah sebuah motosikal dipercayai milik seorang daripada suspek.

Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat dan siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan.