Rosnah mahu ‘panglima-panglima’ UMNO bentuk kesepaduan jitu hadapi PRU14

0

PAPAR: Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mahu ‘panglima-panglima’ UMNO membentuk kesepaduan jitu dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang disifatkan sebagai ‘peperangan’ yang semakin hampir.

Beliau berkata perpaduan adalah kunci utama dan formula kekuatan paling penting dalam mengharungi segala cabaran getir ketika parti berhadapan dengan ‘musuh’ sekali gus memastikan parti terus kekal relevan.

Atas dasar itulah, Rosnah mengajak semua pemimpin atasan parti dan anggota akar umbi supaya kembali untuk bersama-sama saf kepimpinan sedia ada bagi  memperkukuhkan lagi perjuangan dan perjalanan UMNO sebagai parti pembela rakyat.

“Seorang pahlawan tidak akan meninggalkan ‘peperangan’ dan senjata ketika masih berperang dengan musuh. Saya meminta agar ‘panglima-panglima’ kita (UMNO) kembali menguatkan jentera dan pasukan untuk menghadapi PRU14 nanti,” katanya.

Rosnah yang juga anggota Parlimen Papar berkata demikian dalam sidang media berhubung penganjuran Majlis Rumah Terbuka Krismas Parlimen Papar, di sini semalam.

Mengulas pendekatan Presiden Parti Datuk Seri Najib Tun Razak yang memilih berjiwa besar untuk berdamai, beliau berkata Najib ialah seorang presiden yang sanggup mengetepikan ego dan perasaan sendiri demi memastikan keutuhan parti.

Rosnah yang pernah mengetuai pergerakan Puteri UMNO juga melihat Najib bukan sahaja berjiwa besar, malah mempunyai pemikiran panjang dan di luar kotak dalam merencanakan bagaimana parti menuju kegemilangan.

“Saya ingin melihat kesepakatan itu wujud semula,” katanya dan berharap anggota UMNO tidak terikut-ikut sentimen cuba dimainkan pembangkang atau menjadi pembangkang dalam parti sendiri kerana ia tidak membawa apa-apa kebaikan.

Mengenai persediaan PRU14, Rosnah berkata jentera parti di kawasannya komited memastikan persiapan sentiasa dilakukan terutama dalam usaha menambah keanggotaan dan daftar pemilih selain mengguna pakai formula sedia ada yang ditambah baik mengikut keadaan semasa.

“Walaupun Papar menang 100 peratus (semua calon Barisan Nasional menang kerusi ditandingi) dengan majoriti undi meningkat pada PRU13 berbanding PRU12,tidak bermakna kami berasa selesa, malah kami harus melipatgandakan lagi (persiapan PRU14) termasuk memberi tumpuan kepada kawasan tertentu,” katanya.

Mengenai Majlis Rumah Terbuka Krismas, Rosnah berkata program julung kali akan diadakan itu bertujuan mengeratkan lagi hubungan rakyat berbilang bangsa dan agama yang sedia terjalin sekali gus meraikan kepelbagaian budaya di negeri ini.

Majlis dijadual berlangsung pada 26 Dis itu menjangkakan kehadiran lebih 3,000 masyarakat Papar dengan pelbagai acara menarik disusun penganjur. — Bernama