UMS dan DBKK komited bersama-sama capai bandar raya sifar AIDS

0
SIFAR AIDS: Robert (kiri) menyempurnakan gimik perasmian sambil disaksikan oleh Zainal (kanan).

SIFAR AIDS: Robert (kiri) menyempurnakan gimik perasmian sambil disaksikan oleh Zainal (kanan).

KOTA KINABALU: Univerisiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) komited untuk bekerjasama bagi mencapai matlamat sebuah bandar raya yang dapat membanteras dan membendung penyakit HIV atau AIDS.

Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Abidin Madingkir berkata, 1 Disember setiap tahun adalah tarikh yang ditetapkan sebagai Hari AIDS Sedunia  dan penetapan itu adalah sebagai memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang jangkitan HIV dan penyakit AIDS.

“Tahun ini kita telah memilih slogan ‘Akhiri AIDS, Mulakan Sekarang’ dan ia sangat sesuai kerana mengajak semua pihak khususnya penduduk Sabah dalam menangani HIV demi merealisasikan komitmen negara.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dengan kerjasama DBKK, agensi-agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan akan memberikan sepenuh komitmen dan sokongan dalam usaha untuk melaksanakan Projek Bandaraya Kota Kinabalu menuju sifaf HIV menjelang 2020,” katanya ketika merasmikan Hari AIDS Sedunia 2015 peringkat Daerah Kota Kinabalu di UMS kelmarin.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya DBKK, Robert Lipon.

Abidin berkata, satu usaha kawalan dan pencegahan HIV untuk mencapai sasaran ‘sifar jangkitan HIV baru, sifar diskriminasi dan sifar kematian berkaitan AIDS’ adalah selaras dengan deklarasi politik HIV/AIDS yang dipersetujui oleh negara-negara ASEAN.

Katanya, pelbagai strategi telah dirangka untuk mendekati kumpulan sasar yang dikenal pasti dan ianya akan dilaksanakan oleh lima jawatankuasa kerja yang dianggotai oleh pelbagai agensi serta jabatan yang relevan.

“Saya berharap semua ahli jawatankuasa ini akan terus memperkukuhkan komitmen ke arah sifar HIV menjelang 2020.

“Saya juga berharap pihak media terus memainkan peranan untuk memberi liputan yang meluas dan tepat terhadap aktiviti projek ini bagi memberi kesedaran, meningkatkan pengetahuan dan memupuk perubahan tingkah laku yang sihat dalam kalangan masyarakat di sekitar bandar raya ini,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, Prof. Dr Zainal Arifin Mustapha berkata, sambutan itu adalah kali yang ketiga diadakan di UMS.

Katanya, kerjasama dengan semua agensi kerajaan dalam membawa mesej kepada masyarakat awam adalah penting dalam usaha menghadapi penyakit itu.

“Penyakit ini secara prinsipnya masih lagi berlaku kerana ia adalah sebahagian daripada perkembangan dicapai dalam globalisasi,” katanya.

Menurutnya, usaha yang lebih gigih diperlukan untuk membendung daripada gejala itu dari merebak ke generasi seterusnya.