Kg Contoh Kuala Sapi dapat faedah daripada skim kredit baja sawit

0
LEBIH BERKUALITI: Chong (enam kiri) menyerahkan seguni baja kepada salah seorang penerima.

LEBIH BERKUALITI: Chong (enam kiri) menyerahkan seguni baja kepada salah seorang penerima.

BELURAN: Pekebun kecil pembekal tandan buah segar (FFB) sawit di Kampung Contoh Kuala Sapi kini mendapat manfaat darpada penuaian dan pembekalan FFB yang lebih berkualiti.

Manfaat itu berdasarkan persetujuan daripada 20 pengusaha dengan Kilang Sawit Reka Halus Wilmar International menerusi skim kredit baja kepada pekebun kecil sawit.

Pegawai utama kilang itu, Chong Yin Sien berkata dalam skim itu pihak kilang akan menyediakan pekebun kecil sejumlah baja berdasarkan kredit dan sebagai balasan pihak pekebun akan membekalkan FFB kepada kilang sekali gus memotong sejumlah jualan mereka selama tiga bulan berturut-turut.

“Pemberian skim kredit ini di Kg Contoh Kuala Sapi adalah yang pertama dilakukan oleh pihak kilang Wilmar International.

“Walaupun program ini adalah kecil tetapi kami berharap ia mampu mendapatkan maklum balas yang lebih banyak pada masa hadapan seterusnya kita mampu meningkatkan jumlah baja untuk dibekalkan kepada para pengusaha kecil kebun kelapa sawit,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan baja di kilang itu di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, skim sedemikian menjadi satu keperluan kepada para penduduk kampung yang memiliki kebun kelapa sawit dan telah bekerjasama dengan Wilmar International sejak kilang itu beroperasi di Kuala Sapi.

Katanya, pihak kilang sangat gembira dengan bekalan FFB yang diberikan oleh penduduk kampung di samping penuaian FFB oleh kilang itu sendiri.

“Bagaimanapun, kualiti FFB yang dihasilkan kebun orang kampung sering mengalami penurunan dan kenaikan…maka penerimaan FFB yang berkualiti rendah adalah tidak memberikan faedah.

“Selepas mengadakan penyelidikan, kami mendapati sebab utama penyumbang kepada FFB yang berkualiti rendah adalah kurangnya penggunaan baja yang mana kos baja itu tidak mampu dibeli oleh penduduk kampung.

“Inilah sebabnya skim sedemikian diwujudkan untuk kebaikan penduduk yang mempunyai kebun sawit,” katanya.

Chong berkata, kilang menyediakan skim baja kepada orang kampung dan para pekebun itu akan membekalkan FFB yang berkualiti. Hasil jualan masih dibayar kepada para pekebun dan pemotongan harga daripada jualan adalah sangat berpatutan.

Katanya, skim sedemikian tidak memberikan beban kepada pekebun sebaliknya membantu mereka mendapat hasil pendapatan yang baik setiap bulan.