Cadangan Pusat Sehenti Filem lonjak industri perfileman kreatif

0

KOTA KINABALU: Cadangan untuk mewujudkan sebuah Pusat Sehenti Filem di Sabah dilihat mampu melonjakkan pembangunan industri perfileman negeri sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan industri kreatif tempatan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata cadangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu juga mampu menjadi platform bagi menyediakan kemudahan terkini kepada penggiat industri filem tempatan.

Salleh berkata kementeriannya sentiasa memberi perhatian cadangan seumpama itu kerana menyedari perlunya kemudahan perfileman seperti studio dan peralatan produksi yang boleh digunakan dalam menghasilkan filem yang lebih berkualiti.

“(Bagaimanapun) usaha mewujudkan pelbagai kemudahan bagi menyokong industri ini memerlukan perbelanjaan tinggi dan perancangan teliti agar pelaksanaannya mencapai objektif,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Industri Kreatif di sini semalam.

Seminar sehari anjuran UMS dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) dan Majlis Profesor Negara itu bertujuan mendedahkan perkembangan terbaharu dalam industri kreatif di Malaysia khasnya di Sabah.

Salleh berharap UMS termasuk institusi pengajian tinggi lain di Sabah menyediakan ruang dan peluang kepada belia melalui kursus berkaitan yang lebih kompetitif terutama dalam penggunaan perisian dan teknologi terkini.

Beliau turut memuji pendekatan UMS menggalakkan pelajarnya menghasilkan filem pendek menggunakan teknologi imej janaan komputer (CGI) dan animasi kerana ia penting dalam penghasilan produk kreatif lebih berdaya saing.

Dalam perkembangan berkaitan, Salleh berkata 175 penggiat seni Sabah menerima bantuan sejumlah RM3 juta melalui program Pembelajaran Sepanjang HayatIndustri Kreatif (CILL) anjuran FINAS bertujuan merapatkan jurang kemahiran industri tempatan.

Beliau berharap penggiat seni di negeri ini mengambil peluang menyertai program itu pada tahun-tahun akan datang untuk mempertingkat kemahiran dengan mengikuti kursus berkaitan di dalam dan luar negeri.

Beliau meminta FINAS melantik seorang penasihat industri kreatif khusus untuk Sabah dan Sarawak bagi membantu memajukan industri itu di negeri terbabit.

Di samping itu, Salleh juga mahu penggiat industri kreatif lebih proaktif memikirkan kaedah terbaik menjadikan bidang itu lubuk untuk menjana pendapatan lumayan termasuk hasil industri kreatif mereka ke peringkat antarabangsa.

Pada majlis sama, Salleh menyampaikan Dana Mikro FINAS kepada 26 pene- rima. — Bernama