Pusat pemprosesan durian sejuk beku di Sarawak

0
SIMBOLIK: Paza (tengah) membuka durian sebagai simbolik perasmian Kempen Makan Buah-Buahan Tempatan di Medan Niaga Satok semalam.

SIMBOLIK: Paza (tengah) membuka durian sebagai simbolik perasmian Kempen Makan Buah-Buahan Tempatan di Medan Niaga Satok semalam.

FAMA rancang membukanya atasi masalah lambakan durian di negeri ini setiap kali musim durian

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merancang membuka sebuah pusat pemprosesan durian sejuk beku di negeri ini.

Pengarah FAMA Sarawak Paza Dan berkata pusat berkenaan adalah bagi mengatasi masalah lambakan durian di negeri ini setiap kali musim durian.

Di samping itu, projek ini juga akan membuka peluang baharu bagi usahawan tempatan untuk mengeksport produk berasaskan durian ke luar negara.

“Setakat ini FAMA telah membina tujuh pusat pemprosesan dan penyimpanan isi durian sejuk beku di Semenanjung Malaysia.

“Untuk Sarawak, FAMA bercadang membuka pusat ini di Pusat Operasi FAMA di Jalan Meranek, Samarahan yang mana pada masa kini merupakan pusat pengedaran bagi hasil-hasil pertanian.

“Kami akan menaik taraf pusat operasi Samarahan ini dengan fasiliti pusat pemprosesan durian sejuk beku dan dijangka akan dapat digunakan pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kempen Makan Buah-Buahan Tempatan di Medan Niaga Satok di sini, semalam.

Teknologi sejuk beku merupakan teknologi penyejuk bekalan kepada suhu 18 darjah celsius dan ke bawah bagi tujuan mengawal mikroorganisma daripada merosakkan makanan.

Pusat pemprosesan durian sejuk beku menggunakan teknologi sejuk beku mampu mengekalkan jangka hayat buah durian sehingga enam bulan manakala isi buah yang sudah dikeluarkan mampu bertahan sehingga dua bulan.

Dari segi pencapaian, FAMA telah memproses kira-kira 4,000 tan metrik durian di tujuh pusat pemprosesan FAMA bagi memenuhi permintaan yang tinggi daripada negara luar terutama China, Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Australia.

Dengan adanya kemudahan pusat pemprosesan durian sejuk beku yang akan disediakan oleh FAMA di Samarahan kelak ia akan mampu mengatasi masalah lambakan durian setiap kali musim durian.

Selain itu ia akan meningkatkan nilai eksport negara selaras dengan Dasar Agro Makanan Negara (DAN) yang menyasarkan unjuran peningkatan eksport industri Agro Makanan dan asas tani daripada RM27 bilion pada 2010 kepada RM36.5 bilion pada 2020.