UPPM Liawan nafi dakwaan liar APS

0

KENINGAU:  Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat  (UPPM) Liawan kelmarin menafikan kenyataan Angkatan Perubahan Sabah (APS) terhadap Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sambil menyifatkan dakwaan itu lebih berminat menonjolkan tuduhan-tuduhan liar kepada FAMA dan kakitangannya berbanding jasa besar mereka kepada rakyat khususnya para penjaja di daerah ini.

“Beliau sepatutnya turun padang dan menyelidik kejadian sebenar,” kata Pemimpin Pembangunan Masyarakat Liawan, Sahanip Jamil sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden APS Paul Kadau yang tersiar di sebuah akhbar tempatan (bukan Utusan Borneo) baru-baru ini.

Sahanip kesal kerana APS hanya lebih memilih untuk memetik cerita-cerita tidak sahih yang berlegar di laman sosial sehingga tergamak menuduh kakitangan FAMA tidak hormat malah memandang rendah golongan penjaja.

Menurut beliau, sebahagian besar penjaja yang ditemui oleh kakitangan UPPM Liawan di Pasar Tani Tamu Keningau itu Khamis lalu menafikan semua tuduhan sepertimana yang disebarkan.

Katanya, mereka turut kesal kerana cerita-cerita tidak benar itu yang disebarkan secara meluas dalam media-media sosial mengelirukan orang ramai.

“Menurut penjelasan kakitangan FAMA, kekecohan berlaku apabila mereka (penjaja) mula berasak-asak dan tidak lagi beratur menurut barisan yang telah ditetapkan.

“Tambah memburukkan keadaan apabila mereka yang tidak berdaftar dengan FAMA pun turut berebut mendapatkan tiket sehingga menyebabkan kesesakan.

“Saya simpati dengan pelbagai tuduhan buruk dan liar yang dilemparkan kepada FAMA dan kakitangannya oleh golongan tertentu.

“Namun begitu saya bersetuju dengan sebahagian cadangan bernas mereka khususnya kewajaran menyediakan seberapa banyak kaunter pembahagian tiket serta disusun mengikut zon seperti zon menjual sayuran, daging dan ayam, ikan, bunga dan lain-lain supaya lebih kemas dan terurus pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada semua wakil rakyat yang selama ini bertungkus lumus memerah idea dan usaha sehingga terbina bangunan yang serba lengkap ini.

Ini termasuk kerajaan dan FAMA yang sentiasa peka dengan keselesaan rakyat khususnya para penjaja di daerah ini.

Sementara itu, Pengurus Keselamatan RELA Julian F Lian yang bertugas di Pasar Tani FAMA pada hari kejadian turut menafikan  segala tuduhan liar yang tersiar di media-media sosial.

Beliau yang ditemui oleh kakitangan UPPM bertegas mengatakan tidak berlaku kejadian menghamburkan tiket-tiket pembahagian lot dan tidak ada juga orang yang pengsan hanya terjatuh kerana diasak oleh mereka yang berebut-rebut dan bertolak-tolakan.

Dalam kenyataannya, Paul mengutuk sekeras-kerasnya pendekatan yang diambil oleh FAMA dalam pengagihan lot-lot gerai penjaja di sini.

Beliau berkata, pihak FAMA sepatutnya menyediakan beberapa kaunter untuk menjalankan cabutan yang diadakan di kawasan dewan terbuka di tapak tamu.

Sebaliknya, beliau mendakwa FAMA bertindak menghamburkan tiket-tiket untuk diagihkan kepada penjaja yang ingin mendapatkan lot berniaga di tapak tamu baharu, mengakibatkan keadaan menjadi huru-hara dan ada antara warga emas yang pengsan disebabkan keadaan itu.

“Ia sungguh mengejutkan dan memalukan kerana ia seolah-olah kerajaan tidak mempunyai sistem yang betul untuk melaksanakan tugas. Tambahan pula, tidak banyak lot yang akan diagihkan.

“Saya sifatkan tindakan pegawai berkenaan tidak menghormati peniaga yang mencari nafkah untuk keluarga atau mungkin terlalu memandang rendah martabat golongan penjaja,” kata Paul.

Sementara itu, Sahanip memberitahu bahawa kos bangunan Pasar Tani Tamu Keningau hampir RM3 juta dibina melalui peruntukan kerajaan persekutuan dan mula dibina awal tahun ini dan siap pada November tahun ini.

Katanya, bangunan ini lebih tersusun lagi untuk para penjaja berniaga di kawasan yang berbumbung dan selesa.

“Terdapat 500 penjaja yang berniaga di kawasan ini dan tambahan permohonan dari luar sebanyak 300 orang, pada masa ini jumlah penjaja sudah melebihi 800 orang,” katanya.

Katanya, kawasan ini kini dinamakan sebagai Pasar Tani Tamu Keningau yang dibuka pada setiap hari Khamis dan Ahad sementara para peniaga Inidustri Kecil dan Sederhana diberikan lot berukuran 10’X10’ untuk menjalankan perniagaan mereka setiap hari.

Sahanip memberitahu bahawa Pasar Tani ini diuruskan oleh FAMA  dan dibantu oleh Majlis Daerah Keningau.

Menurut beliau, matlamat kerajaan untuk membangunkan para peniaga di tamu ini terutama sekali Bumiputera yang tidak ada lokasi tempat menjalankan perniagaan yang selesa.

“Selain itu, untuk menjadikan lokasi ini sebagai tarikan pengunjung dari luar daerah dan menjadi mercu tanda daerah Keningau dan menjadikan daerah ini sebagai destinasi pelancongan yang menarik untuk dikunjungi.

Selain itu katanya, untuk membantu Pihak Berkuasa Tempatan membangunkan daerah ini ke arah yang lebih maju pada masa hadapan.

Sahanip berkata, pembangkang sentiasa mencari kesalahan sedangkan tujuan dan hasrat kerajaan ialah untuk faedah rakyat yang memerlukan kemudahan lebih selesa.