Dakwaan di media sosial timbulkan kebimbangan masyarakat, pelancong

0
DILANCAR: Kurup (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran Tamu Mingguan KRT Mukim Kundasang.

DILANCAR: Kurup (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran Tamu Mingguan KRT Mukim Kundasang.

RANAU: Rakyat dinasihatkan tidak mempercayai provokasi yang menjadi viral di laman sosial khususnya mengenai Kundasang yang didakwa mengalami kerosakan teruk dan tidak selamat untuk dikunjungi selepas gempa bumi Jun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata, persepsi negatif itu sedikit sebanyak telah menjejaskan pendapatan para peniaga dan pengusaha inap desa akibat kebimbangan masyarakat luar yang tidak berasas.

“Kita difahamkan pendapatan para peniaga serta pengusaha inap desa berkurang sebanyak 90 peratus sepanjang Jun hingga Ogos lalu.

“Ia dikatakan berpunca daripada maklumat tidak tepat yang mendakwa Kundasang serta kawasan sekitar mengalami kerosakan teruk, malah ada yang mengatakan ia sudah tidak selamat untuk dikunjungi.

“Paling malang, maklumat itu menjadi viral di laman sosial sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat luar dan pelancong,” katanya.

Kesal dengan perkara itu, beliau menggesa masyarakat serta pengunjung Pesta Kubis 2015 menjadi saksi serta membuktikan bahawa keadaan Kundasang bukan seperti yang digembar-gembur pihak yang tidak bertanggungjawab.

Malah, Kurup meminta masyarakat bijak menggunakan media sosial untuk sesuatu yang bermanfaat serta membantu kerajaan mempromosi destinasi serta produk pelancongan tempatan.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan acara tahunan itu di Pekan Kundasang, dekat sini kelmarin.

Julung kalinya, Pesta Kubis mewujudkan beberapa anugerah bagi mengiktiraf usaha para penanam tanaman komersil itu di samping memberi galakan kepada masyarakat untuk menceburi bidang itu.

Pada majlis itu, Kurup menyampaikan Anugerah Peladang Jaya kepada Sindan Kindayuh, Anugerah Usahawan Muda kepada Muhiji Jalani, Ibu Peladang 2015 kepada Aminah Andalong dan Anugerah Khas Pendidikan kepada Muhammad Taqwuddin Mohd Yazid.

Turut disampaikan, Anugerah Kecemerlangan Pelajar yang diberikan kepada para pelajar cemerlang dalam peperiksaan SPM, PT3, UPSR dan peperiksaan agama.

Beliau juga menyampaikan penghargaan kepada empat Ikon Belia iaitu pengendali payung terjun ranking 30 terbaik dunia Suhari Jainal, pelari terbaik Top 3 Marathon Altitut Tinggi Asia Tenggara Safrey Sumping, juara ‘Sabah Bird Race 2015’ Bonijatreno Jumin dan Lerry Dominic serta malim gunung yang dianugerahkan Ikon Belia Malaysia sempena Hari Kebangsaan 2015, Rizuan Kauhimin.

Sempena program itu juga, Kurup turut merlancarkan Tamu Mingguan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Mukim Kundasang yang melibatkan 16 kampung.

Selain menjual barang keperluan, produk serta makanan, tamu mingguan yang akan beroperasi setiap Sabtu itu juga bakal menjadi lokasi penggiat seni hiburan tempatan antaranya Kinabalu Merdu Sound dan Suara Buluh Perindu Kinabalu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Joachim Gunsalam, Timbalan Speaker DUN Sabah Datuk Dr Jonhson Tee, Pegawai Daerah Faimin Kamin dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Wasry Tarijin.