Pesta Kubis platform bantu petani tingkatkan hasil jualan sayuran

0
TARIKAN: Beginilah longgokan seberat 1.6 tan kubis yang berjaya dikumpulkan semasa Pesta Kubis pada Sabtu lalu.

TARIKAN: Beginilah longgokan seberat 1.6 tan kubis yang berjaya dikumpulkan semasa Pesta Kubis pada Sabtu lalu.

KUNDASANG: Sambutan Pesta Kubis yang diadakan di daerah ini setiap tahun menjadi platform yang signifikan dalam membantu golongan tani di kawasan ini meningkatkan hasil jualan sayuran mereka.

Tinjauan semasa sambutan ke-16 Pesta Kubis di sini mendapati masyarakat tani berganding bahu dalam menjayakan program itu yang sememangnya merupakan sesuatu yang istimewa bagi penduduk di daerah Ranau khususnya kawasan Kundasang.

Ketua Kampung Lembah Permai Mahatin Sairin, 56 memberitahu, dalam sambutan kali ini sebanyak 16 kampung telah bersatu untuk menghasilkan satu longgokan besar sayur kubis sempena pesta berkenaan.

“Kita membuat inisiatif untuk tahun ini untuk membina satu ‘bukit’ kubis yang diharapkan dapat menarik perhatian umum terhadap usaha tani yang dijalankan oleh penduduk di kawasan ini.

“Dalam inisiatif ini, kita meminta setiap kampung menghantar sebanyak 100 kilogram kubis untuk dilonggokkan menjadikan jumlah keseluruhan kubis yang kita lihat pada hari ini seberat 1.6 tan,” katanya.

Mahatin berkata, selepas acara perasmian Pesta Kubis Sabah 2015, kubis berkenaan akan dilelong pada harga RM1 sebiji kepada orang ramai.

“Selain kubis, terdapat juga sayur-sayuran lain seperti tomato yang akan dilelong pada harga 10 sen sebiji, daun bawang pada harga RM1 untuk tiga pokok, dan juga sayur-sayuran lain pada harga yang sangat rendah,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup yang merasmikan sambutan Pesta Kubis pada Sabtu lalu berkata, sayur kubis adalah sinonim dengan masyarakat yang tinggal di kawasan Kundasang.

Beliau berkata, jenis kubis yang pertama sekali diusahakan di Kundasang adalah daripada spesis ‘Bald Head’ yang telah diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian melalui Penyelidikan Pertanian Kundasang dan selebihnya diperolehi dari negara luar seperti Belanda, Australia dan Jepun.

“Sayur kubis ini jika diteliti dan diperhalusi lagi bentuknya secara mendalam, adalah terdiri daripada beberapa lapisan daun yang tebal dan akhirnya terbentuk menjadi bulat seperti yang kita kenali bentuk kubis yang biasa.

“Secara semula jadi, struktur dan bentuk semula jadi sayur ini amat jelas mempunyai kaitan yang erat dengan kehidupan masyarakat di sini. Elemen seperti perhubungan, perpaduan, kerjasama dan saling membantu, jelas diterjemahkan.

“Ini merupakan nilai-nilai murni yang perlu diamalkan dalam kehidupan seharian kita selaras dengan konsep 1Malaysia,” katanya.

Dalam usaha membina masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan sejahtera, Kurup berkata terdapat beberapa nilai penting yang perlu diamalkan.

“Antaranya ialah semangat bertolak ansur, penerimaan struktur pola-pola masyarakat yang sedia ada tanpa menyimpan perasaan curiga-mencurigai.

“Jika semua nilai ini dapat diamalkan, saya yakin dan percaya rakyat di negeri ini akan dapat hidup dalam suasana yang aman, harmoni dan sejahtera, yang hanya mampu diwujudkan jika individu dan masyarakat mahu berubah kepada hala tuju yang lebih positif,” jelasnya.