Ancaman IS serius

0

Veteran ATM sasaran mudah untuk direkrut

TAMAT KURSUS: Sazali (dua kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta kursus.

TAMAT KURSUS: Sazali (dua kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta kursus.

KOTA KINABALU: Golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjadi sasaran yang mudah untuk direkrut oleh kumpulan pengganas Islamic State (IS) jika tidak diberi perhatian sewajarnya.

Pengarah Kanan Latihan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) Sazali Puteh Mahadi berkata, veteran ATM menjadi keperluan kepada IS kerana adanya kepakaran dan pengalaman mereka dalam bidang ketenteraan.

“Jika kerajaan tidak serius membantu (veteran ATM), kita takut mereka akan menjadi sebahagian daripada ahli IS.

“Pada minggu lepas, Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) telah pun menyatakan bahawa ancaman IS ini amat serius jika tidak ditangani secara berhemah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Koperasi Ushawan Veteran ATM Sabah (KUSVET), di sini kelmarin.

Dengan adanya penubuhan KUSVET yang pertama di Sabah, Sazali yakin dapat membantu golongan veteran ATM untuk membina kerjaya kedua selepas bersara dariapda ATM.

Menerusi KUSVET katanya, pihaknya juga dapat membantu pihak kerajaan untuk menyekat veteran ATM daripada terbabit dengan aktiviti ekstrimis khususnya penyebaran fahaman kumpulan militan IS.

Selain bertujuan untuk menjaga kebajikan ahli koperasi yang berdaftar, Sazali berkata KUSVET turut menjadi platform kepada golongan veteran ATM untuk mewujudkan dan mengembangkan perniagaan yang sedia ada.

“KUSVET ATM ini adalah pertama ditubuhkan di Malaysia yang berkonsepkan usahawan dan menerusi usaha ini, pihak PERHEBAT akan mencari usahawan dalam kalangan veteran untuk dibela dan dibantu,” katanya.

Sazali turut menggesa veteran ATM khususnya di Sabah supaya tampil menyalurkan dan berkongsi idea untuk meningkatkan lagi sosioekonomi golongan itu.

“Pada 2016, kita akan melaksanakan pelbagai aktiviti seumpama ini yang sudah pasti memberi nilai tambah kepada veteran ATM untuk meningkatkan lagi sumber ekonomi keluarga.

“Kita juga mengalu-alukan veteran ATM supaya membuat pinjaman melalui Skim Pinjaman Mikro Ushawan Veteran (SPMUV) yang diusahakan oleh TEKUN bagi membantu mereka dalam memulakan dan mengembangkan perniagaan,” katanya.

Terdahulu, seramai 44 peserta yang terdiri daripada bekas anggota ATM seluruh Sabah menyertai kursus Usahawan Putu Bambu dan Kambing D’Best anjuran Perhebat Sabah dengan kerjasama Sevenstar Global Resources.

Hadir sama ialah Pengurus Perhebat Sabah Mazlan Ahmad dan Yang Dipertua Persatuan Veteran ATM Sabah Zaman Bayang.